Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) ‘dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.

Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) pula katanya bertanggungjawab membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan End-To-End akan dibangunkan.

“Kita akan memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device, termasuk pemasangan kemudahan wifi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber.

“Infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan terus dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik di seluruh negeri. Kerajaan juga akan merancakkan penggunaan solusi pengkomputeran awan selaras dengan MyDigital Economy Blueprint.

“Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025.

Semua usaha ini bagi memastikan pelaksanaan dan pembangunan digital yang berkesan serta mampan,” katanya sempena International Conference On Public Organisations XII (ICONPO 2023), di Pacific Sutera Harbour Resort di sini, hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata kerajaan negeri mengutamakan pendigitalan perkhidmatan awam ke arah pentadbiran digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) untuk menyokong pembangunan strategi dalam meningkatkan kapasiti Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan gelombang perubahan di mana perniagaan, kerajaan dan netizen terpaksa mengintegrasikan digital ke dalam urusan harian mereka.

“Kita sedar bahawa banyak peluang boleh dicapai jika kita menguasai ekonomi digital untuk mencapai matlamat jangka panjang yang ditetapkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“Sebab itu juga melalui KSTI, kita memperkenalkan Konsep Sandbox bagi memacu lagi pelaksanaan pendigitalan di negeri ini. Perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan dalam Sandbox ini termasuk peluang pelaburan untuk inovator dan usahawan, nasihat undang-undang dan latihan untuk usahawan,” katanya.

Beliau berkata, Sistem Maklumat Geografi (GIS) juga akan dibangunkan untuk mengumpul maklumat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

“Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi, dan penggunaan secara maya,” katanya sambil berharap persidangan ini akan berjaya termasuk membincangkan cara terbaik untuk memperkukuh transformasi digital ke arah tadbir urus pintar.