Warisan hanya cakap kosong, pasti ditolak rakyat pada PRN-17

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) seolah-olah masih tidak berpijak di bumi nyata apabila menyatakan rakyat akan memberi sokongan kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kenyataan Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua bahawa rakyat Sabah akan memberi sokongan kepada parti Warisan pada PRN-17 hanya sekadar ingin menyedapkan hati mereka sendiri.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Wanita Warisan itu seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan sedemikian.

Perlu diingat, Warisan adalah parti yang telah ditolak rakyat pada PRN 2020 malah, parti itu juga dihukum oleh rakyat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen daripada lapan kerusi yang dimenangi pada PRU-14. Ia termasuk kekalahan teruk di kawasan Timbalan Presiden dan Ketua Pemuda Warisan.

“Betul, parti Warisan pernah menjadi kerajaan negeri selepas PRN 2018 disebabkan oleh lompatan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika itu. Biarpun Warisan tidak memenangi PRN, tetapi boleh dikatakan Warisan menjadi kerajaan hanya sebagai rekod.

“Jika dilihat tiada tanda-tanda atau kesan positif yang boleh diingati rakyat kecuali gaya hidup para pemimpin parti itu yang berubah, sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nizam, Warisan tidak mempunyai hala tuju selain hanya pandai bercakap kosong, bermain politik yang tidak matang dan mendendangkan isu-isu yang mereka sendiri gagal untuk menyelesaikannya.

Dengan sikap pemimpin seperti ini, rakyat Sabah pasti akan menolak parti Warisan pada PRN akan datang.

ADUN Apas itu berkata, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkaitan PRN-17 yang akan diadakan sehingga tamat penggal adalah satu pengesahan bahawa setiap pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu melaksanakan semua perancangan dan merealisasikannya untuk dirasai rakyat.

Indeks Pencapaian Utama (KPI) sesebuah kerajaan adalah ketika mereka berjaya mencapai apa yang telah dirancang untuk kepentingan rakyat.

Menurut Nizam, kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinan Hajiji, mempunyai hala tuju yang jelas. Setiap yang dimulakan mesti berakhir dengan hasil, bukannya seperti pemimpin Warisan yang hanya gempak seperti tin kosong.

Data tidak pernah berbohong dalam tiga tahun pemerintahan Datuk Seri Hajiji bersama kabinet dan pemimpin kerajaan, kutipan hasil negeri terus mencatat rekod melepasi angka RM5 bilion, malah untuk tahun 2022 dan 2023 hampir mencecah RM7 bilion, suatu rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Pemimpin parti Warisan sangat bimbang apabila semakin banyak projek kerajaan untuk kepentingan rakyat direalisasikan, maka semakin hanyut lah mereka dan mungkin terkubur selama-lamanya.

“Cerita rekaan pemimpin Warisan yang disampaikan oleh cytro upahan mereka memakan diri sendiri, kerana semakin hari terdedah bahawa apa yang mereka war-warkan hanya cerita bohong dan fitnah.

“Tidak sedarkah Ketua Wanita parti Warisan ini bahawa semakin hari parti itu kehilangan keahlian termasuk pemimpin. Maka parti yang telah ditolak oleh ahli dan pemimpin sendiri takkan pula disokong oleh rakyat,” katanya.

You May Also Like