Jadi pembangkang berguna bukan kaki sabotaj

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menempelak sikap pemimpin parti pembangkang yang lebih suka mensabotaj segala usaha Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memajukan negeri dengan menyebar propaganda masalah kemudahan asas seolah-olah tiada langkah penyelesaian diambil.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tindakan tersebut seperti meludah ke langit terkena muka sendiri kerana masalah yang berlaku sekarang diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang ditadbir oleh pemimpin pembangkang sendiri.

Beliau memberikan contoh masalah berkaitan air masin di Sandakan yang berpunca daripada tindakan kerajaan terdahulu menamatkan syarikat yang ada dan menggantikannya dengan syarikat baharu yang tidak pandai melakukan kerja.

“Pemimpin parti pembangkang di Sabah tidak ikhlas untuk membela rakyat dan memajukan Sabah kerana terlalu kuat bermain politik untuk kekal relevan dalam politik Sabah sehingga menggunakan keadaan kemudahan asas seolah-olah masalah berkenaan hanya berlaku semasa kerajaan hari ini tanpa berbuat apa apa untuk mengatasinya.

“Kenyataan dan ucapan pemimpin parti pembangkang ini amat melucukan apabila menyentuh masalah legasi berdekad ini sedangkan masalah ini adalah warisan akibat kegagalan kerajaan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nizam, tanggungjawab pemimpin pembangkang sepatutnya memberi teguran membina bukannya bermain politik dengan mensabotaj usaha kerajaan sedangkan mereka sendiri sebelum ini gagal mentadbir urus penyelesaian ke atas masalah yang dibangkitkan sehingga ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu.

Katanya, jika dilihat kepada pencapaian Kerajaan GRS, bukan sahaja langkah-langkah menyelesaikan masalah kemudahan asas yang diwarisi telah dilaksanakan, malah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Nor juga telah melaksanakan pelbagai usaha meningkatkan hasil negeri.

Jelasnya, perkara ini termaktub dalam Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) pertama iaitu hala tuju pembangunan Sabah dalam lima tahun akan datang yang memberi fokus kepada sektor ekonomi dan pembinaan kemudahan asas.

“Pemimpin parti pembangkang di Sabah tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan GRS PH Plus selaras dengan Pelan Hala Tuju SMJ telah melaksanakan pelbagai pendekatan samada berkaitan kemudahan asas, perekonomian, perindustrian, pendidikan dan semua pendekatan itu ada yang telah dirasai rakyat seperti inisiatif modal insan, biasiswa pendidikan, bantuan rumah SMJ, dan ada yang masih dalam pelaksanaan dan penyiapan seperti projek naik taraf loji rawatan air Kogopon serta Telibong 2 dan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas Tenom.

“Sebut apa sahaja berkaitan keperluan rakyat secara umum, kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju SMJ sedang menanganinya, dan inilah yang menjadi kerisauan kepada pemimpin parti pembangkang di Sabah kerana mereka akan kehilangan modal isu politik mereka,” tegasnya.

You May Also Like