Ketua Penerangan Wanita GRS, Annabell dilantik sebagai Senator

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita, parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Annabell Perian mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu bagi penggal tiga tahun berkuat kuasa hari ini.

Berikutan pelantikan sebagai Senator itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Ketua Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda atas sokongan dalam mengesyorkan dan melantik beliau sebagai senator.

“Saya ingin melahirkan rasa syukur di atas peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat Malaysia khususnya dalam mengutarakan masalah serta membincangkan pelbagai isu yang dibawa di Dewan Negara.

“Saya akan menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada baik ketika bekerja untuk parti mahupun bekerja untuk rakyat agar suara rakyat khususnya isu-isu di Sabah dapat diketengahkan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya dalam kenyataan media.

Annabell, 45 tahun, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Hubungan Industri & Perburuhan) Universiti Malaysia Sarawak turut melahirkan komitmen menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.

“Saya berjanji akan bekerja tanpa jemu ke arah kebaikan negara dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya yang juga Ketua Wanita GRS Sungai Sibuga.

Selain Annabell, ahli-ahli Dewan Negara yang turut mengangkat sumpah pada hari ini adalah Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan; dan Senator Pele Peter Tinggom yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga Mac 2027.

Turut hadir adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Redonah Bahanda.

You May Also Like