Razeef selar tindakan Madius tunggang isu MA63

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin menyelar tindakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang cuba berlagak lantang dalam menyuarakan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tuaran itu sering dilihat membuat ‘bising’ pada sidang akhbar dan cuba untuk menunggang isu ini.

“Seingat saya sebagai warga Tuaran, Madius pernah menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Persekutuan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Namun mengapa pada ketika itu beliau tidak bersuara ‘selantang’ sekarang untuk mendapatkan hak 40 peratus tersebut.

“Malah beliau juga ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri di bawah kerajaan Warisan dahulu turut bersetuju dengan pemberian khas berjumlah hanya RM53.4 juta sahaja, berbanding RM300 juta yang baharu disalurkan oleh kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razeef berkata, Madius seharusnya faham pemberian khas RM300 juta hanyalah sebagai penyelesaian interim terhadap tuntutan hasil Sabah daripada Putrajaya. Ini bermakna ia hanya penyelesaian sementara dan proses konsultasi berkenaan hasil 40 peratus masih diteruskan.

“Kita telah menunggu selama lima dekad dan hanya di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja kita melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan MA63.

“Ini dipermudahkan lagi dengan persefahaman bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya.

Menurut beliau, sebagai seorang ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan, Madius seharusnya mempunyai akses penuh untuk berbincang dengan Perdana Menteri mengenai hal tersebut.

Namun, apa yang dapat dilihat, Madius memilih untuk ‘bising’ dalam sidang akhbar.

Jelas Razeef, beliau percaya kebijaksanaan pemimpin peringkat Pusat dan negeri telah membawa kepada kemajuan pelaksanaan pelbagai perkara yang menjadi tuntutan perjanjian yang termaktub dalam MA63.

“Sebagai anak Sabah, saya juga mahu isu 40 peratus pemberian khas ini dipenuhi. Tapi sebagaimana yang disebutkan oleh Menteri Kewangan Sabah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, dalam kita terus menuntut, kita juga perlu berterima kasih kerana sekurang-kurangnya kadar pemberian khas ini telah meningkat dari hanya RM26.7 juta sejak 50 tahun lalu, kepada RM300 juta kini.

“Paling penting Perdana Menteri telahpun menzahirkan bahawa jumlah ini akan terus ditingkatkan,” jelasnya.

Madius boleh sahaja pada bila-bila masa bertemu dengan Hajiji atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali bagi mendapatkan penjelasan atau melontarkan pandangan jika beliau benar ikhlas memperjuangkan isu ini.

You May Also Like