KOTA KINABALU: Isu pertindihan keahlian dalam kalangan ahli parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan mengakibatkan perpecahan dalam gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pertindihan keahlian adalah perkara biasa di Sabah jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila seorang individu mempunyai empat keahlian dalam parti yang berlainan.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan itu berkata, perkara sebegini bukan sesuatu yang baharu jadi, tidak mungkin akan berlaku rampasan keahlian sesama ahli-ahli komponen GRS.
“Bagi saya manusia ini berakal, kalau kita bilang merampas agak sukar dirampas, kecuali atas kerelaan diri sendiri.
“Kalau pertindihan keahlian, tahulah di Sabah ini kadang-kadang ketua parti datang, kita kibar bendera. Tidak hairan kalau seorang ada empat keahlian dalam parti berlainan.
“Saya tidak tahu apa motivasi dia, tapi yang pasti bukan sesuatu yang mengejutkan,” katanya selepas majlis penyerahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada Petronas kepada MARA, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam yang meminta budaya merampas ahli parti komponen dalam GRS dihentikan untuk mengelak perpecahan dalam gabungan tersebut.
Masidi, yang juga Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, sekiranya mengambil perhatian terhadap setiap perkara kecil yang berlaku sejak politik wujud di negara ini, perkara sebegini bukan sesuatu yang baharu.
“Jadi, saya tidak fikir ia akan mengakibatkan perpecahan sebab orang kata, manatau orang suka banyak bintang..itu normal di Sabah,” katanya.
Dalam laporan akhbar tempatan hari ini, Ruslan memberi amaran untuk menghentikan perbuatan merampas atau mencuri ahli-ahli parti dalam kalangan komponen GRS bagi mengelak perpecahan.
Katanya, tindakan beberapa parti dalam GRS merampas anggota parti lain dalam gabungan itu seolah-olah tidak menghormati semangat setiakawan dan ia boleh mengakibatkan perpecahan dalam GRS.