KOTA KINABLU: UMNO Sabah usah terus berlagak sebagai ‘big brother’ sedangkan sokongan terhadap parti itu semakin merundum.
Exco Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Johainizamshah Johari berkata, jika dilihat ramai pemimpin dan ahli UMNO telah meninggalkan parti itu selepas Langkah Kinabalu gagal.
Sejak cubaan rampasan kuasa oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan-rakannya gagal, ramai pemimpin dan ahli-ahli parti itu keluar bagi menyertai parti lain.
“Mereka meninggalkan UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah kerana tidak bersetuju dengan tindakan Bung Moktar yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti.
“Tindakan terdesak yang sangat memalukan itu jelas menunjukkan pemimpin UMNO Sabah itu mementingkan kedudukan dan jawatan dan bukannya demi kepentingan rakyat.
“Rakyat Sabah tidak buta dan mereka tahu bahawa Bung Moktar kemaruk kuasa, mahu jadi Ketua Menteri Sabah ketika peristiwa itu berlaku sehingga sanggup bersekongkol dengan parti pembangkang negeri, Parti Warisan (Warisan) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melakukan kudeta politik,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir terhadap ucapan dasar Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada Persidangan Agung Tahunan parti itu pada Isnin.
Johainizamshah yang juga Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag itu berkata, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 yang lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) banyak mengalah dengan desakan dan permintaan daripada UMNO/BN Sabah.
“Antaranya dalam memuktamadkan isu calon dan pembahagian kerusi, Hajiji terpaksa menggugurkan beberapa calon GRS di beberapa kawasan walaupun ia dikategorikan sebagai kawasan mampu menang.
“Begitu juga ceritanya dengan pengisian jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan (GLC), pemimpin UMNO Sabah mendapat lebih dan kebanyakannya adalah GLC yang utama dan penting berbanding dengan ahli GRS sendiri.
“Begitu juga dengan lantikan enam ADUN dilantik, UMNO/BN mendapat bahagian yang besar.
“Semua kebaikan itu tidak dibalas dengan baik oleh pemimpin UMNO Sabah, malahan pelbagai rancangan dan strategi jahat dilakukan mereka semata-mata untuk menggulingkan kerajaan negeri demi merampas kuasa untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Menurutnya, hikmah disebalik kejadian selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah kesan dinamika politik yang berlaku di Sabah telah berjaya membentuk Blok Borneo bersama Sarawak dan akhirnya parti lokal yang diimpikan sekian lama oleh orang Sabah kini menjadi realiti.
“Pengundi kini sudah bijak menilai mana intan dan mana permata. Sekiranya PRN ditakdirkan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang, GRS yang sudah bersedia, yakin mampu membuat kejutan kepada pihak lawan,” jelasnya.
Jelas beliau, ribuan perwakilan, pemerhati dan ahli parti serta penyokong yang hadir serta mengikuti secara dalam talian Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini jelas membuktikan bahawa parti yang dipimpin oleh Hajiji dan kepimpinannya diterima rakyat berbilang kaum negeri ini.