Pelaburan Sabah tunjuk prestasi memberangsangkan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang direkodkan di Sabah mencecah 79 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan pada 2022 iaitu RM11.5 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, keadaan itu menjadikan Sabah negeri kelima di Malaysia yang mencatatkan rekod pelaburan yang tertinggi dari Januari hingga Jun tahun ini.

Beliau berkata, Sabah telah mencatat jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM9 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding hanya sebanyak RM6 bilion pada 2021 dan RM11.5 bilion pada tahun lalu.

“Kerajaan berjaya membawa ramai pelabur asing membuka perniagaan dalam sektor pembuatan seperti kilang kerajang tembaga oleh SK Nexilis dan kilang kaca solar Kibing yang amat memerlukan pekerja berkemahiran.

“Ini juga menunjukkan Sabah kini berada di landasan pembangunan yang betul berikutan mempunyai situasi politik yang stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan bantuan BIZRIDER Mobile Mechanic Programme dan Sijil Kolaborasi antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah di Politeknik Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Hajiji, bagi memastikan Sabah terus berdaya saing seiring dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia, kerajaan negeri akan melabur dalam bidang pengetahuan, kemahiran, dan keupayaan rakyat untuk kejayaan dan kemakmuran pada masa hadapan.

“Atas sebab itu, pada awal bulan ini, saya telah mengetuai misi perdagangan di luar negara iaitu ke China dan Hong Kong untuk mempromosikan peluang perniagaan dan pelaburan di Sabah kepada pelabur di kedua-dua negara berkenaan.

“Kerajaan negeri juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd untuk mempercepatkan inisiatif transformasi digital negeri ini.

“Justeru, kita semua harus bersedia kerana sudah pasti semua ini akan membawa lebih banyak pelabur untuk datang, yang bermakna semakin banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini,” katanya.

You May Also Like