KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi tentang usaha mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara kedua-dua parti.
Dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu berkata, perbincangan itu dilakukan setelah mengambil kira seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalin kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.
Menurutnya, kerjasama yang ingin dijalinkan itu adalah kesinambungan kepada cadangan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.
“Kerjasama ini adalah untuk memperkukuhkan lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan antara pemimpin kedua-dua parti semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kedua-dua parti telah memberi amanah kepada sembilan wakil parti bagi melakukan perbincangan itu.
PBS akan diwakili oleh Setiausaha Agung Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda Christoper Mandut.
Sementara itu, STAR pula akan diwakili oleh Naib Presiden/Pengarah Strategik Dr Paul Porodong, Edward Linggu, Ketua Penerangan Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita Datuk Flovia Ng dan Ketua Pergerakan Pemuda Kong Soon Choi.
Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.