Kepelbagaian modal insan lonjak pertumbuhan ekonomi Sabah

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan kepelbagaian modal insan negeri ini untuk melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan modal insan amat penting untuk pertumbuhan dan pembangunan lestari Sabah, yang akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk, menggalakkan keterangkuman sosial serta meletakkan negeri ini lebih kompetitif di peringkat global.

Sehubungan itu katanya, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan yang penting dalam usaha membangunkan modal insan yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negeri.

“TVET kini bukan sekadar melengkapi individu dengan kemahiran tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, selain memupuk inovator, usahawan dan pekerja mahir yang akan mendorong kemajuan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan BIZRIDER Mobile Mechanic Programme dan Sijil Kolaborasi diantara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya inisiatif yang memberi peluang kepada belia Sabah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan TVET.

“Program TVET amat relevan dalam usaha Sabah untuk terus membangunkan sektor ekonominya yang disokong Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ. Ia juga menyediakan graduan untuk menjadi tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sabah yang mempunyai sumber asli, minyak dan gas, pertanian dan sektor pelaburan mahu memajukan sektor pembuatan selaras dengan usaha kerajaan yang menggariskan pelbagai inisiatif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan,” katanya.

Menyentuh tentang Program Koridor Pembangunan Sabah (SDC)-Sabah Talent Enhancement Programme (SSTEP) dan Program #BIZRIDER300, Hajiji berkata, seramai 3,116 peserta telah dilatih melalui 280 program yang dijalankan melibatkan latihan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, padanan pekerjaan serta peluang keusahawanan.

Katanya, Program #BIZRIDER300 yang dilancarkannya pada 14 Julai 2022, seramai 100 belia telah menerima bantuan motosikal dan padanan pekerjaan sebagai rakan penghantar makanan melalui kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan terbesar di Malaysia.

Sebanyak 15 buah motosikal akan diserahkan kepada alumni politeknik dan kolej komuniti yang akan beroperasi sebagai mekanik bergerak.

You May Also Like