Suhaimi cuba tutup kegagalan UMNO dalam Langkah Kinabalu-Nizam

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Melemparkan tuduhan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menipu dan tidak menunaikan janji adalah tohmahan dibuat-buat bagi menutup kelemahan Langkah Kinabalu yang telah gagal pada awal tahun ini.

Dakwaan yang dilemparkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Suhaimi Nasir terhadap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu bagaikan ‘menepuk air dalam dulang terpercik di muka sendiri’

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Suhaimi itu dengan sendirinya mendedahkan pengkhianatan UMNO Sabah kepada mandat dan aspirasi rakyat.

“Datuk Seri Hajiji adalah seorang pemimpin dan Ketua Menteri yang bersikap terbuka dan mudah dibawa berbincang.

“Sepatutnya Pengerusi UMNO Sabah yang juga berjawatan Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempunyai akses yang cukup luas untuk berbincang termasuklah dalam Mesyuarat Kabinet Negeri.

“Suhaimi harus sedar bahawa selaku Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji membuat keputusan dengan mengambil kira semua pandangan rakan parti dalam komponen kerajaan Sabah dan bukan hanya untuk UMNO Sabah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nizam berkata, sekiranya dakwaan Ketua Penerangan UMNO itu benar itu benar, tidak mungkin ramai pemimpin berdiri dan menyokong Ketua Menteri sekarang. Malah, bekas pemimpin utama Sabah yang berjasa kepada rakyat dan negeri ini turut hadir semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata, Suhaimi yang sebelum ini merupakan ADUN Dilantik harus sedar, sekiranya Hajiji tidak mempunyai semangat setiakawan, tidak mungkin lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah kekal menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri dan tidak bersetuju dengan tindakan kudeta Langkah Kinabalu yang gagal itu.

Menurut Nizam, semasa persidangan Gagasan Rakyat baru-baru ini, Hajiji dalam ucapan dasar Presiden mengingatkan ahli-ahli parti untuk bekerja bersungguh-sungguh, memantapkan jentera parti, menyantuni rakyat, berkhidmat dengan penuh iltizam agar parti mendapat mandat dengan kuasa yang cukup besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) yang akan datang.

Hajiji menyatakan sokongan daripada rakyat cukup penting agar titik hitam dalam sejarah politik Sabah menerusi tindakan cubaan rampasan kuasa yang menyebabkan kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan untuk terus memerintah tidak berulang sekali lagi.

“Gerakan “Kudeta” yang gagal itu memberi pengajaran erti sebenar mana kawan dan mana pengkhianat.

“Malah, kerajaan menghargai kematangan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan aspirasi dan mandat rakyat pada PRN-16 dengan menyokong mengekalkan kerajaan pimpinan Hajiji untuk membolehkan kerajaan terus memerintah dan melaksana Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” kata Hajiji.

You May Also Like