Kehadiran Musa, bekas-bekas Ketua Menteri sebagai tanda sokongan moral-Hajiji

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Setelah dua bulan menyepikan diri selepas timbul khabar angin mengaitkan namanya ingin mengetuai Pakatan Harapan (PH) Sabah, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman membuat kemunculan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), hari ini.

Namun, kehadiran itu bukanlah gambaran bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu ingin membuat kemunculan semula dalam arena politik tanah air.

Kehadiran Musa disifatkan sebagai tanda sokongan moral kepada Ketua Menteri, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji berkata, kehadiran Musa bersama bekas-bekas Ketua Menteri Sabah yang lain adalah untuk memberi sokongan moral kepadanya.

“Saya punya pendekatan berbeza kepada pemimpin kita yang lama dan sudah tidak aktif dalam politik. Kita kena beri penghormatan kepada mereka untuk datang ke mesyuarat seperti ini.

“Semua bekas-bekas Ketua Menteri saya ada jemput tapi, ada yang tidak berada di Sabah. Mereka yang datang kita ucapkan penghargaan dan sebagai penasihat dan memberi pandangan kepada kita dalam perjuangan ini, kita amat hargai kehadiran mereka,” katanya selepas perasmian Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, hari ini.

Antara bekas Ketua Menteri yang hadir adalah Musa, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Osu Sukam dan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

Pada September lalu, timbul khabar angin menyatakan Musa Aman ingin Kembali dalam arena politik tempatan dengan mengetuai PH Sabah.

Namun, khabar angin itu dinafikan oleh pimpinan PH Sabah pada 15 September lalu menerusi satu kenyataan bersama. Pimpinan PH Sabah menyatakan perkara sebegitu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah.

Mengulas tentang kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan lebih awal, Hajiji berkata, beliau belum mendapat ilham tentang perkara itu.

“Kita mimpi-mimpi dulu. Kita belum dapat ilham tapi, kita ada dua tahun lagi. Sebagai Presiden parti, saya ingin mengingatkan semua peringkat pimpinan sayap-sayao untuk bersedia dan gerakkan jentera parti.

“Tempoh dua tahun bukan lama, akhir tempoh pemerintahan kita pada bulan Oktober 2025 jadi, kita kena bekerja,” katanya.

You May Also Like