KOTA KINABALU: Pembukaan kilang kaca solar antarabangsa, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd di Sabah bukan sahaja menjadi bukti Pelan Tindakan Sabah Baju Jaya (SMJ) berjaya, tetapi menunjukkan komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membawa pembangunan di negeri ini.
Kilang yang beroperasi di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan merupakan sebahagian daripada pelaburan RM3 bilion syarikat dari China itu membuktikan SMJ bukan sahaja untuk tatapan penyedap mata seperti yang didakwa oleh golongan terdesak ketika awal pelancarannya.
Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai berkata, pelan tindakan SMJ sebenarnya memberikan panduan secara teliti mengenai keperluan negeri ini serta rakyatnya dan telah hasilnya dapat dilihat dengan jelas.
“Jika ada sesiapa terutama pembangkang masih menganggap SMJ hanyalah pelan politik mereka sebenarnya tinggal di planet lain.
“Ini adalah janji yang ditepati kerajaan,” katan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu.
Kilang kaca solar itu merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai berbilion ringgit oleh Syarikat Kumpulan Kibing yang berpangkalan di China.
Kilang tersebut merupakan pelaburan berimpak tinggi di bawah pelan tindakan SMJ yang merupakan hasil buah fikiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Ketika perasmian kilang itu baru-baru ini, Ketua Menteri berkata, Sabah kini berjaya menempatkan diri sebagai antara pemain utama pengeluar kaca solar di Malaysia dan akan menyumbang secara signifikan dalam sektor tenaga boleh baharu.
“Pencapaian ini bukan sahaja menjanjikan lonjakan ekonomi tetapi juga komitmen kita dalam teknologi hijau serta kemampanan,” kata Hajiji.
Moh Chai berkata, Sabah kini di landasan tepat dalam pelan tindakan SMJ dan hasil sebanyak RM7 bilion yang dikutip tahun lalu merupakan bukti jelas kejayaannya.
“Betul kritikan penting tetapi mestilah disampaikan dengan betul. Menyumbanglah kepada pembangunan negeri, kongsikan idea jika mahu mengkritik, pastikan kritikan itu bermakna bukannya sekadar mengkritik semata-mata.
“Inilah masalah pembangkang. Adakah kamu lakukan apa-apa yang baik untuk negeri? Tiada. Dan sekarang kamu cemburu dengan kejayaan kerajaan GRS,” tegas beliau.
Pelan tindakan SMJ kini telah menarik minat pelabur asing dan tempatan dan mampu mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.
“Sepanjang masa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri sentiasa memikirkan, merancang dan melakukan apa yang terbaik untuk rakyat serta negeri ini.
“Mendapatkan pelaburan berbilion ringgit dari luar negara bukan mudah. Dengan usaha dan ketabahan ketika berdepan ekonomi global tidak menentu, kerajaan negeri jelas telah melakukannya dengan baik,” tambahnya.