Persekutuan perlu benarkan Sabah import beras sendiri

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbang semula kebenaran untuk Sabah mengeluarkan dan mengimport beras sendiri.

Kebenaran harus diberikan untuk Sabah menguruskan sekurang-kurangnya 50 peratus beras import.

Perkara itu dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

“Autonomi untuk membenarkan Sabah menguruskan sendiri pengimportan dan pengeluaran beras bukan sekadar permintaan tetapi, ia adalah asas untuk Sabah menangani keperluan dan kebajikan rakyat di negeri ini. Keperluan Sabah berbeza daripada Semenanjung Malaysia.

“Kita perlu ada autonomi dan kebolehan untuk menguruskan sendiri import dan pengeluaran beras.

“Penurunan kuasa itu akan membolehkan Sabah dan Sarawak memperkasakan usaha menangai penawaran dan permintaan bekalan beras dengan lebih efektif. Ia juga membolehkan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih baik.

“Bagi memudahkan proses penurunan kuasa itu, saya mencadangkan sekurang-kurangnya 50 peratus beras import diuruskan sendiri oleh Sabah untuk rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jeffrey, situasi itu akan memberi ruang kepada Sabah untuk membuktikan keberkesanan dalam mengawal bekalan makanan sendiri tanpa perlu mengubah sepenuhnya sistem sedia ada.

Beliau juga mengkritik sistem monopoli beras import kerana ia akan memudaratkan ekonomi dan menjejaskan kemajuan Sabah. Ketiadaan persaingan dalam pasaran bukan hanya menjejaskan bekalan makanan malah, menyebabkan persekitaran tidak berkembang.

“Saya difahamkan monopoli ini akan berakhir pada 2031. Namun, keadaan ini boleh membawa kepada situasi yang tidak sihat dan tidak memenuhi keperluan rakyat Sabah. Monopoli yang wujud akan membawa kepada ketidakcekapan,” ujarnya.

Namun, persaingan mewujudkan kecekapan dan inovasi. Apabila syarikat dan organisasi berhadapan persaingan ia meningkatkan kecekapan.

Dalam konteks pengimportan dan pengeluaran bekas, ia akan memperbaiki cara penanaman yang boleh meningkatkan persaingan harga dan memberi manfaat kepada pengguna.

You May Also Like