Hajiji hargai sokongan Ahli Parlimen Labuan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menghormati keputusan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menyokong kepimpinannya di peringkat negeri Sabah.

Itu adalah keputusan peribadi yang dibuat oleh ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jadi, ia harus dihormati.

“Dia (Suhaili) sokong Perdana Menteri dan kepimpinan Ketua Menteri Sabah tapi, dia masih dalam Perikatan Nasional (PN). Jadi, kita berterima kasihlah dia sokong…kalau orang sokong kita, terima kasih,” katanya semasa mengulas tentang kenyataan Ahli Parlimen Labuan pada Selasa yang menyatakan secara terbuka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini, hari ini.

Mengenai khabar angin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said menyokong pimpinannya, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya sendiri kepada ADUN Usukan.

Semasa kemelut politik yang membawa kepada gerakan Langkah Kinabalu pada awal Januari lalu, Salleh antara ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) yang bertindak menarik sokongan daripada Hajiji selaku Ketua Menteri.

Malah, jawatan Salleh sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad turut digugurkan berkuat kuasa serta-merta.

Susulan kemelut politik yang berlaku, Kabinet Negeri telah dirombak dan ADUN UMNO-BN yang menarik sokongan daripada Hajiji telah digugurkan daripada barisan Kabinet termasuk, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Timbalan Ketua Menteri.

Kini, jawatan Bung Moktar diambil alih oleh Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga daripada UMNO-BN.

Ketika itu, Shahelmey bertindak membelakangkan keputusan parti kerana menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah. Susulan itu, keahliannya di dalam UMNO telah digantung selama enam tahun.

You May Also Like