RM4.2 juta untuk program pembangunan wanita di Sabah

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

TAWAU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam Belanjawan Negeri 2023 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita di Sabah.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag berkata, antara program dan projek yang dilaksanakan oleh jabatan itu ialah Program Keusahawanan Ibu Tunggal, Projek Pembangunan Keusahawanan Wanita dan lain-lain yang menyasarkan golongan ibu tunggal, wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan usahawan wanita.

Beliau, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) berkata, kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Madani 2023 turut memperuntukkan beberapa dana pembiayaan bagi membantu usahawan wanita, antaranya kemudahan pinjaman daripada pelbagai agensi kewangan dengan dana tersedia sebanyak RM1.7 bilion.

Sebagai contoh katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan dana sebanyak RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro yang diusahakan oleh usahawan wanita dan belia, manakala pinjaman lebih RM1 bilion ditawarkan kepada PKS mikro dan penjaja yang bertujuan membantu meringankan beban para usahawan wanita.

Datin Seri Hajah Juliah Salag (duduk-tengah) ketika hadir pada Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023, di Dewan Masyarakat Tawau, hari ini

“Kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan wanita di negeri ini dan sentiasa berusaha serta mencari jalan memperkasakan ekonomi wanita dalam bidang keusahawanan”, katanya semasa merasmikan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini hari ini.

Program keusahawanan itu yang dianjurkan oleh JHEWA disertai oleh seramai 350 orang peserta terdiri daripada peserta kursus kemahiran dan usahawan wanita dari sekitar daerah ini.

 Juliah berkata, kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasa golongan usahawan di negeri ini dan usahawan wanita perlu merebut peluang dan memanfaatkan bantuan dan pinjaman yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, keusahawanan yang diceburi oleh kaum wanita amat luas meliputi keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, industri kreatif, teknologi, sektor kecantikan dan banyak lagi.

“Sebab itu kaum wanita kini dilihat lebih aktif terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan. Mereka telah memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan, mencipta inovasi, dan pelbagai bidang yang lain.

“Walaupun usahawan wanita sering menghadapi cabaran yang unik, termasuk isu ketidakseimbangan bidang kerjaya dan keluarga, namun ia bukan penghalang untuk berjaya kerana banyak sokongan dan rangsangan telah diberikan untuk menyokong keusahawanan wanita.

Wanita juga telah membuktikan kebolehan mereka untuk mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan, bukan sahaja di negeri Sabah malah, di seluruh Malaysia,” tambahnya.

Juliah juga menyarankan usahawan menyertai kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu danpengetahuan berkaitan perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan usahawan yang berjaya sebagai tauladan, inspirasi dan wawasan bagi mengecapi kejayaan dalam bidang itu.

“Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi akan datang, malah turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, saya sentiasa menyokong dan mengharapkan kejayaan usahawan wanita di negeri Sabah, agar setanding dengan kejayaan usahawan-usahawan terkemuka yang berjaya menempa nama dan kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi,” katanya.

You May Also Like