Pergiat, semarakkan budaya inovasi dalam sektor awam

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi keutamaan dan akan terus menggiatkan usaha menyemarakkan lagi budaya inovasi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, cekap dan berkesan.

KetuaMenteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inovasi dalam sektor awam bukan sekadar mengguna pakai teknologi baharu, ia berkait rapat dengan proses untuk mengubah cara berfikir dan bekerja secara berkolaborasi demi memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat khususnya di Sabah.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam memperkasakan sektor awam Sabah.

Beliau berkata, ia kerana perkhidmatan awam adalah tunjang pembangunan negeri dan penggerak utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui intipati modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Penjawat awam perlu tampil dengan idea lebih bernas, berani dan agresif dalammembuat penambahbaikan dan inovasi demi mencapai Hala Tuju SMJ.

“Justeru ketua jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalammenerajui hala tuju inovasi agensi yang diterajui,” katanya semasa Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah Tahun 2023 (ISAS) di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (duduk-empat kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong (duduk-tiga kiri) bergambar bersama pemenang utama Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah 2023  semasa Majlis Penyampaian Anugerah iSAS, di Menara Kinabalu, hari ini

Menurutnya, seiring dengan perubahan teknologi dan corak pembangunan negara yang semakin pesat, agensi kerajaan perlu sentiasa mengorak langkah untuk menggunakan pendekatan baharu dan berbeza dalam melaksanakan sesuatu dasar dan perkhidmatan.

Beliau berkata, inovasi adalah nadi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara selain memberi peluang dan kemungkinan baharu, ia juga merupakan pemacu untuk menggerakkan masyarakat ke hadapan.

“Sabah, negeri yang kaya dan berpotensi besar ini juga tidak terkecuali daripada hakikat ini. Saban hari, kita sering melihat kemajuan luar biasa yang berlaku di serata dunia, baik dalam sektor swasta mahupun dalam bidang penyampaian perkhidmatan awam.

“Semua perubahan ini tidak boleh dicapai tanpa fungsi dan peranan aktif kerajaan dalam membentuk masa depan negeri dan aspek inovasi merupakan kunci untuk memastikan keberkesanannya,” tegas beliau.

Katanya, Malaysia masih kekal pada tangga ke-36 dalam Global Innovation Index 2023 sejak tahun 2022 yang menuntut persekitaran eko-sistem cara bekerja dalam organisasi dan gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan dengan drastik bagi memastikan negara terus kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif.

Hajiji berkata, senario itu menuntut penjawat awam untuk melipatgandakan usaha bagi mencipta pelbagai cetusan idea yang berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan seiring dengan arus globalisasi yang semakin berkembang dewasa ini.

Menurutnya, ISAS 2023 merupakan bukti komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan memupuk kecekapan dan kecemerlangan institusi awam di Sabah melalui aktiviti kreativiti dan inovasi.

Katanya, platform itu bukan sahaja mengiktiraf usaha cemerlang penjawat awam yang berdedikasi, malahan juga saluran bagi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mempromosikan pemikiran inovatif serta memberi inspirasi kepada semua penjawat awam untuk membudayakan inovasi dalam perkhidmatan awam.

Hajiji berkata, kerajaan menghargai penjawat awam yang tidak pernah bosan untuk terus berinovasi bagi mentransformasikan sektor awam di negeri ini.

You May Also Like