Gagasan Rakyat mampu tawan kerusi DUN Bugaya PRN akan datang

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin mampu merampas kerusi Dewan Undagan Negeri (DUN) Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Keyakinan itu dinyatakan oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bugaya, Marunda Ampong.

Beliau berkata, berdasarkan situasi sekarang, sokongan yang diterima Gagasan Rakyat pada ketika ini, beliau percaya parti itu mampu menewaskan Parti Warisan (Warisan) di DUN Bugaya.

Jika dilihat pada masa ini, sokongan dan penerimaan rakyat terhadap Gagasan Rakyat di semua cawangan DUN Bugaya sangat positif dan semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Kita mempunyai lebih 3,000 ahli bagi 40 cawangan di DUN Bugaya biarpun parti ini baharu ditubuhkan kira-kira empat bulan lepas.

“Lebih 2,000 lagi borang keahlian yang masih dalam proses kemasukan dan jentera kita sedang giat turun padang menambah ahli ketika ini,” katanya semasa majlis penyerahan borang keahlian Gagasan Rakyat dan penyampaian bantuan bakul makanan di Kampung Sungai Buaya, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, jentera Gagasan Rakyat akan terus bekerja keras untuk memberi keyakinan kepada pengundi terutamanya kejayaan yang dilakar oleh kerajaan negeri.

“Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah berjaya membangunkan ekonomi Sabah dengan cemerlang.

“Justeru, saya harap pengundi di DUN Bugaya perlu bersama-sama dan menyokong kerajaan negeri yang ada pada hari ini,” katanya.

Marunda berkata, semua 450 orang yang menyerahkan borang keahlian pada hari ini adalah penyokong daripada Parti Warisan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Semua pengundi yang menyerahkan borang ini tidak diberikan habuan ataupun paksaan, tetapi mereka dengan sendiri mempunyai kesedaran untuk bersama kepimpinan kerajaan negeri sekarang,” katanya.

You May Also Like