KOTA KINABALU: Pelancaran Kilang Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd menjadi bukti kejayaan kerajaan negeri melalui Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaburan berimpak tinggi itu mampu dicapai apabila kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bersatu di bawah satu visi yang sama.
“Ini adalah hasil usaha bersama untuk membangunkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah,” katanya semasa pelancaran kilang bertaraf dunia di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan akan memastikan pelaburan di Sabah sentiasa lebih mudah. Bagi memastikan ia terjadi, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan pasukan khas pelaburan dalam membantu memudahkan proses pelaburan di Sabah.

“Pasukan khas ini akan menyediakan sokongan yang komprehensif, garis panduan dan persekitaran yang kondusif untuk pelabur.
“Bagi Kumpulan Kibing ini, beliau berkata, pasukan khas itu telah mempercepatkan operasi kilang di bawah tempoh 24 bulan selepas perjanjian awal ditandatangani pada Januari 2022.
“Pencapaian ini menunjukkan dedikasi pasukan khas untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan di Sabah.
“Saya juga ingin memberi penekanan kepada komitmen kerajaan negeri dalam membantu pelabur datang ke Sabah. Kami begitu komited dalam menyediakan persekitaran yang mampu menarik lebih banyak pelabur seperti Kibing datang ke Sabah.
“Ini bukan hanya tentang jumlah pelaburan dalam lejar kewangan tapi, ia turut mewujudkan peluang pekerjaan dan memperbaiki kehidupan rakyat kita,” katanya.
Mengimbas kembali lawatannya ke kilang kaca pertama Kibing di Negeri Sembilan dua tahun lalu, Pengerusi Kumpulan Kibing Yu Qi Bing memaklumkan hasrat Kumpulan Kibing untuk melabur di Sabah.
“Hari ini, projek itu menjadi realiti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pelabur China iaitu Kumpulan Kibing atas kepercayaan dan keyakinan untuk membuka kilang pembuatan kaca solar yang bernilai RM3 bilion di KKIP.
“Dengan kapasiti pengeluaran 440,000 tan kaca solar setiap tahun, ia boleh meletakkan Sabah sebagai pengeluar pembuatan kaca solar di Malaysia dan kami bersedia memberi sumbangan yang signifikan kepada tenaga boleh diperbaharui.
“Pencapaian ini bukan hanya menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang baik malah, ia menunjukkan komitmen kita dalam menggunakan teknologi hijau dan mampan,” katanya.
Menurut beliau, pengoperasian kilang ini memberi 1,100 peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Ia bukan hanya memperkukuhkan tenaga kerja dalam kalangan orang tempatan tetapi, juga meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat melalui pekerjaan yang lebih stabil.
Hajiji begitu optimis bahawa Kumpulan Kibing akan memainkan peranan dalam menyumbang kepada kemakmuran Sabah dalam tempoh masa yang panjang.
Kerajan negeri akan kekal komited dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur seperti Kumpulan Kibing daripada China dan mengiktiraf peranan yang dimainkan dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri ini.
“Kerajaan negeri akan terus menjadi destinasi mesra-pelabur dan komited dalam memperluaskan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah,” katanya.