Keperluan tanah perkuburan Islam dan bukan Islam diberi perhatian-Hajiji

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memastikan keperluan tanah perkuburan untuk masyarakat Islam dan bukan Islam di bandar raya ini diberikan perhatian yang sebaik mungkin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan menyedari wujud keperluan untuk mendapatkan tapak baharu tanah perkuburan berikutan tapak sedia ada sekarang semakin penuh.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sudah diminta untuk mengenal pasti tanah kosong yang sesuai termasuk di Inanam, Menggatal dan Kepayan.

“Tanah perkuburan sedia ada semakin hari semakin penuh, penduduk pun makin bertambah. Jadi kita perlu tanah perkuburan baharu di bandar raya ini untuk menampung keperluan sehingga 30 tahun atau 40 tahun akan datang.

“Saya juga minta JTU supaya melihat perkara ini sebagai satu keperluan dan perlu diberi keutamaan. Mana-mana tanah kosong di bandar raya ini, di Inanam, Menggatal, Kepayan mesti ada satu tanah untuk perkuburan.

“Ini bukan saja untuk perkuburan Islam tetapi juga perkuburan bukan Islam kerana mereka juga perlukan tanah perkuburan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Pewartaan Tapak Tanah Perkuburan Islam Taman Sempelang, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Hajiji turut mengumumkan kelulusan kawasan tanah di sebelah tanah perkuburan Islam Taman Sempelang yang dimiliki oleh DBKK sebagai tanah perkuburan bagi menambah keluasan tanah perkuburan sedia ada.

Katanya, penambahan keluasan tanah perkuburan itu penting memandangkan tapak perkuburan sedia ada sudah penuh hingga merisaukan penduduk setempat untuk mencari lokasi pengkebumian ahli keluarga mereka.

“Soalnya di Sembulan dan Tanjung Aru serta sekitar Kota Kinabalu kekurangan tempat atau tanah perkuburan Islam.

“Saya telah nyatakan kepada Mayor DBKK dulu lagi dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) sebelum ini supaya fikir satu kawasan tanah perkuburan untuk warga bandar raya Kota Kinabalu.

“Jadi hari ini, selain penyerahan pewartaan tanah perkuburan Islam Kampung Sembulan, saya ingin maklumkan kepada warga Sembulan dan Tanjung Aru bahawa tanah lapang yang dulu untuk DBKK di Taman Sempelang dijadikan tanah perkuburan Islam Kampung Sembulan dan Tanjung Aru,” katanya.

Ketua Menteri juga berharap tiada lagi persoalan mengenai tanah lapang di Taman Sempelang, Sembulan itu setelah kerajaan memutuskan untuk menjadikannya tanah perkuburan baharu.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian yang sama terhadap keperluan tanah perkuburan untuk orang bukan Islam, khususnya di bandar raya Kota Kinabalu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat Islam dan bukan Islam, kita mesti fikir keperluan asas tanah perkuburan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut mengulas mengenai status tanah perkampungan atas air Kampung Sembulan yang terletak bersebelahan Harbour City. Kerajaan mempunyai cadangan untuk membangunkan tanah itu jika dipersetujui oleh pemilik asalnya, termasuk dibangunkan dengan perumahan khusus untuk mereka.

“Kita ada satu cadangan dan kalau dipersetujui pemilik asal tanah, kita akan bangunkan kawasan di belakang Harbour City itu dan kita akan beri keutamaan kepada penduduk asal yang tiada rumah sekarang dan kita akan beri rumah untuk mereka,” katanya.

Jika dipersetujui pembangunan kawasan seluas kira-kira 30 ekar itu akan diberikan kepada pemaju yang sanggup membina terlebih dahulu rumah untuk penduduk berpindah dan setelah selesai baru membangunkan kawasan tanah selebihnya.

You May Also Like