Tidak masuk akal Musa Aman cuba gugat kestabilan politik Sabah

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Tiada angin tiada rebut, tiba-tiba nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sekali lagi dikaitkan dengan politik Sabah.

Jika sebelum ini, Musa Aman dikatakan ingin menerajui pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah kini, nama besar dalam arena politik itu dikatakan cuba mengganggu gugat kestabilan politik di negeri ini.

Entah dari mana datangnya khabar angin sedemikian. Bekas Ketua Menteri itu sudah pun bersara dari arena politik jadi, cubaan menggunakan nama beliau untuk menggugat kestabilan politik Sabah adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, beliau tidak melihat alasan untuk Musa Aman cuba hendak mengganggu gugat politik Sabah pada masa ini.

“Saya cukup yakin, Musa tidak begitu terdesak ingin kembali dalam arena politik Sabah. Saya tidak nampak ada sebab Musa nak menggugat politik Sabah ketika ini. Khabar angin sebegitu tidak masuk akal,” katanya.

Justeru, beliau yakin dengan mengambil kira sokongan diterima Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada masa ini, gabungan politik berasaskan parti tempatan itu boleh rasa selesa dengan keadaan semasa.

Katanya, dengan peningkatan populariti GRS pada masa ini, khususnya keinginan rakyat melihat Sabah diterajui oleh parti-parti local seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau percaya GRS mampu memberi saingan hebat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Dr Lee berkata, berdasarkan scenario politik semasa, dinamik Kerajaan Perpaduan Sabah ketika ini menyaksikan kerjasama GRS, PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Di Sabah, PN diwakili oleh ADUN lantikan daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS. Tapi, di peringkat nasional pula PN adalah pembangkang.

Menurut beliau lagi, menjelang PRN Sabah ke-17, GRS perlu membuat beberapa keputusan penting dalam memilih rakan kerjasama kerana pilihan itu akan mempengaruhi masa depan GRS di Sabah.

“Sekarang kita dapat lihat acuan politik Sabah agak berbeza dengan politik di peringkat nasional.

“Namun, tiada perkara yang mustahil dalam politik kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020, kita melihat BN bekerjasama dengan PN untuk menentang Parti Warisan dan PH. Ketika itu, hubungan antara kedua-dua perikatan politik di peringkat nasional begitu tegang.

“Tapi, situasi berbeza selepas PRU-15 yang membawa kepada wujudnya kerjasama PH-BN di peringkat nasional.

“Jadi saya melihat PRN Sabah yang akan datang akan turut dipengaruhi dengan tahap sokongan terhadap PH-BN di peringkat nasional,” ujarnya.

Cubaan demi cubaan dilakukan dalam mengganggu gugat keadaan politik Sabah selepas Langkah Kinabalu pada awal tahun ini gagal menumbangkan kerajaan.

Seperti diungkapkan berkali-kali oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ‘cukup-cukuplah’, semua pihak harus berhenti berpolitik dan berikan ruang kepada kerajaan untuk bekerja dan melaksanakan agenda pembangunan negeri Sabah.

You May Also Like