SMJSB bantu industri minyak dan gas Sabah terus berkembang

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Biarpun ekonomi Sabah belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19, namun keyakinan institusi kewangan terhadap syarikat penuh milik kerajaan negeri dilihat cukup tinggi.

Kejayaan memperoleh lebihan langganan sukuk wakalah hampir empat kali ganda dengan nilai sehingga RM10 bilion memberi petanda yang baik kepada perkembangan industri minyak dan gas Sabah.

Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun semasa melancarkan terbitan sukuk wakalah bagi SMJ Sdn Bhd (SMJSB) menyatakan terbitan sukuk wakalah RM900 juta itu memberi gambaran bahawa institusi kewangan amat yakin dengan SMJSB dan kerajaan negeri.

Biarpun ekonomi masih dalam fasa pemulihan namun, syarikat milik penuh kerajaan negeri ini mengambil langkah setapak ke hadapan dalam usaha meningkatkan hasil negeri melalui industri minyak dan gas.

Dr. James Alin

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. James Alin berkata, terbitan sukuk yang merupakan alat kewangan Islam biasanya digunakan bagi membantu syarikat menampung perbelanjaan operasi atau menambah aset atau hasil mereka.

Terbitan sukuk yang dibuat oleh syarikat tempatan seperti SMJSB itu akan memberi kesan berganda dalam usaha meningkatkan ekonomi dan juga memberi pekerjaan kepada anak tempatan.

Biarpun ekonomi negeri belum pulih sepenuhnya namun, langkah yang diambil oleh SMJSB itu pastinya membantu dalam proses pemulihan negeri yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, apabila institusi kewangan memberi pinjaman atau sukuk kepada syarikat, ia jelas menunjukkan keyakinan institusi kewangan terhadap kebolehan sesebuah syarikat untuk membayar semula pinjaman berserta kadar faedah.

“Bagi SMJSB yang menggunakan prinsip kewangan Islam iaitu sukuk wakalah, institusi kewangan berpegang kepada prinsip perkongsian untung dan rugi.

“Apabila syarikat peminjam memperoleh keuntungan, ia akan dikongsi dan sekiranya berlaku kerugian, kerugian itu juga akan dikongsi bersama,” katanya.

James berkata, pada masa ini harga minyak mentah akan naik jadi, ini peluang yang baik untuk SMJSB menjalankan perniagaan dalam industri minyak dan gas dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan mereka.

Sekiranya ingin bersaing dengan syarikat minyak dan gas lain, SMJSB perlu mengambil masa untuk maju dengan diterajui individu yang berkemahiran dalam menjalankan perniagaan bagi industri minyak dan gas.

Ketika harga minyak mentah naik, mustahil untuk syarikat minyak dan gas gagal meraih keuntungan kecuali, berlaku kesilapan dalam pengurusan kewangan.

You May Also Like