KOTA KINABALU: Kementerian di peringkat Persekutuan perlu menyerahkan senarai projek-projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta kepada Sabah dan Sarawak pada bulan Januari tahun depan.
Langkah itu bagi membolehkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak menyemak mana-mana projek yang perlu diberi keutamaan untuk tujuan pelaksanaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk menyemak senarai projek-projek pembangunan tersebut.
“Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu menyemak projek mana yang mahu dilaksanakan oleh Sabah dan Sarawak serta projek mana yang perlu dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan.
“Jadi saya minta jangan lewat untuk memperincikan senarai projek-projek itu. Pada Januari tahun depan, hantarlah awal senarai itu kepada kerajaan negeri, jangan berlengah-lengah,” katanya selepas Program Jualan Rahmah di Parlimen Sepanggar hari ini.
Menurut beliau, kerajaan Sabah dan Sarawak juga perlu membuat penambahbaikan segera untuk melihat kapasiti tenaga kerja yang perlu ditambah.
Jika perlu menambah kapasiti pegawai kontrak maka, tambahlah agar projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
Dalam menjayakan pelaksanaan itu, kedua-dua kerajaan sama ada negeri dan Persekutuan perlu sama-sama memainkan peranan bagi memastikan projek di bawah RM50 juta itu dilaksanakan dengan segera.
Armizan berkata, biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan projek pembangunan di bawah RM50 juta itu boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bermula awal tahun ini namun, pra-pelaksanaannya mempunyai sedikit masalah.
Ia susulan agihan bajet yang diperuntukkan agak lewat. Justeru, dalam Belanjawan 2024 yang telah dibentang dan mungkin diluluskan pada hujung November ini, Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian bersedia dengan perancangan projek masing-masing.
Maka, kementerian tidak perlu lagi menunggu sehingga belanjawan diluluskan, mereka boleh menyediakan segera senarai projek-projek yang dirancang. Jadi, apabila belanjawan diluluskan, mereka boleh segera membuat proses seterusnya bagi melaksanakan projek yang telah disenaraikan.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, Sabah menerima peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2024 yang berjumlah RM6.6 bilion.
Malah, sebelum ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM320 juta bagi menyelesaikan isu air di Sabah dan peruntukan itu diberikan dalam bentuk pinjaman mudah.
Pinjaman mudah itu diberikan setelah mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang semakin baik dan tidak mempunyai sebarang tunggakan dalam membayar pinjaman mudah kepada Persekutuan.
Jelas beliau, Sabah antara negeri yang mempunyai prestasi kewangan yang baik, itu sebabnya kita diberikan pinjaman mudah pada tahun ini.