KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk menukar gelaran Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri sebagai langkah menaikkan martabat mereka.
Sebelum ini Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah bersetuju mengenai pertukaran gelaran itu dan berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa yang sesuai.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, Ketua Menteri itu juga telah menyatakan pertukaran gelaran itu memerlukan kelulusan dua pertiga dalam DUN.
“Pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan kelulusan dua pertiga dalam DUN, oleh itu saya mengharapkan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Timbalan Menteri membawa makna lebih penting dan kedengaran lebih baik,” kata Hajiji semasa mengulas rasional pertukaran nama berkenaan sebelum ini.
Dalam pada itu, Mohd Nazri juga melihat keperluan untuk Sabah menambah lebih banyak kementerian bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kemajuan negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan menamakan Ketua Menteri kepada Premier seperti yang dilaksanakan di Sarawak juga merupakan satu cadangan yang baik.
Katanya, selaras dengan semangat Borneo dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah perlu mengikut jejak langkah Sarawak yang kini menggunakan Premier.
“Sudah tiba masanya Sabah turut mengambil tindakan dan langkah yang sama menamakan semua jawatan Ketua Menteri kepada Premier memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan dua wilayah yang bersama-sama membentuk negara Malaysia.
“Tanpa wilayah Sabah dan Sarawak, maka tiada negara Malaysia, yang ada hanya Tanah Melayu.
“Justeru menamakan semula jawatan Ketua Menteri kepada Premier amat penting keran ia akan menjadikan Sabah lebih dihormati sebagai sebuah wilayah yang setaraf dengan Semenanjung”, katanya dalam kenyataan.
Mohd Nazri berkata, tindakan Sabah mengikut jejak langkah Sarawak sudah pasti akan memudahkan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kedua-dua negeri sebagai wilayah yang setaraf dengan Semenanjung.
Beliau berpendapat, kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pasti tidak keberatan memberi pengiktirafan kepada wilayah Borneo dan mengubah Perlembagaan Persekutuan sekiranya Sabah telah berbuat demikian seperti Sarawak.
Katanya, Anwar telah berulang kali beri jaminan akan melaksanakan segala perjanjian yang telah dimenterai dalam MA63.