Sukuk Wakalah SMJSB terima langganan hingga RM10 bilion

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerusi SMJ Sdn Bhd (SMJSB) mencipta kejayaan tersendiri apabila sukuk wakalah bernilai RM900 juta yang diterbitkan menerima lebihan langganan hampir empat kali ganda.

Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Sdn Bhd, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, situasi itu menunjukkan sektor kewangan atau pelabur mempunyai keyakinan penuh bukan hanya kepada SMJSB tetapi, juga kepada kerajaan negeri.

“Ini juga memberi cerminan terhadap kemampuan AmInvestment Bank Berhad (AIBB) untuk mengurus terbitan sukuk dengan penuh profesional.

“Penerbitan sukuk ini adalah bentuk bon bagi tujuan keperluan perniagaan bagi SMJSB yang merupakan syarikat penuh kerajaan negeri. Itu sebabnya, apabila AmInvestment menawarkan ingin menjadi penaja utama kita, saya amat senang hati.

“Apa yang membanggakan, walaupun SMJSB sebuah syarikat baharu tapi terbitan sukuknya mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan pelabur,” katanya semasa sidang media selepas majlis menandatangani penerbitan sukuk wakalah yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Acara menandatangani penerbitan sukuk wakalah bernilai sehingga RM10 bilion itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr Dionysia Kibat dan wakil AIBB, Yeoh Teik Leng.

Menurut Masidi, dengan terbitan sukuk wakalah yang merupakan bon atau sijil kewangan Islam itu, ia membolehkan SMJSB memperoleh aset lebih banyak kerana mempunyai punca kewangan baharu dan seterusnya memperkukuhkan kedudukan syarikat ini dalam industri minyak dan gas di Sabah.

Terbitan sukuk itu membolehkan SMJSB mempunyai dana untuk tujuan perniagaan seterusnya termasuk dalam mengambil alih Sabah International Petroleum dan pelbagai aset yang dilihat mampu membawa pulangan yang baik kepada SMJSB dan kerajaan negeri.

Masidi berkata, pinjaman melalui sukuk itu perlu bagi membolehkan syarikat milik kerajaan negeri itu mempunyai modal kewangan untuk terlibat dalam pelbagai bentuk perniagaan bagi menambah aset syarikat.

Berdasarkan sukuk wakalah, pinjaman akan diberikan bagi tempoh lima hingga 15 tahun dengan kadar keuntungan antara 4.23 peratus kepada 4.67 peratus setahun.

Penerbitannya pula membabitkan langganan berjumlah RM3.5 bilion yang akan diterjemah dalam bentuk bidaan sehingga hampir empat kali ganda.

You May Also Like