KOTA KINABALU: Agihan jawatan di peringkat akar umbi kepada anggota Pakatan Harapan (PH) akan mengambil sedikit masa.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan yang dibentuk dengan kerjasama PH di Sabah ini baru berusia sembilan bulan maka, penyesuaian kepada agihan jawatan akan mengambil sedikit masa.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh bertindak sembarangan untuk menamatkan kontrak pemimpin akar umbi yang masih berkhidmat.
“Ada antara mereka berkhidmat secara kontrak selama dua tahun, mereka ini ada komitmen keluarga dan sebagainya.
“Jadi, beri kita masa. Penyelarasan boleh dibuat dari masa ke semasa. Apa yang saya mahu katakan adalah kita tidak boleh sesuka hati membuang orang kerana mahu menempatkan orang baharu.
“Kita perlu bersifat lebih berperikemanusiaan dalam cara kita menguruskan orang yang memegang jawatan tersebut. Jadi, jawapan saya adalah beri kita masa untuk buat penyelarasan,” katanya ketika mengulas tentang kenyataan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengenai perkongsian kuasa membabitkan pemimpin akar umbi.
Ewon sebelum ini menyatakan kerjasama GRS-PH harus diterjemahkan dengan perkongsian kuasa melalui pelantikan pemimpin peringkat akar umbi.
Walau bagaimanapun, Masidi memberi jaminan bahawa dari masa ke semasa, kerajaan akan membuat penyesuaian tanpa perlu meminggirkan mereka yang sedang memegang jawatan tersebut sekarang.
Menurutnya, mereka tidak boleh melantik semua orang dalam jawatan yang agak terhad dalam kerajaan.
Mungkin ada yang akan terkejut jika Gagasan Rakyat juga merungut bahawa mereka tidak menerima jawatan yang telah dijanjikan dalam sesetengah kawasan.
Berkemungkinan selepas pilihan raya akan datang lebih mudah untuk membuat penyelarasan.