KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan institusi agama di Sabah supaya sentiasa peka dan berhikmah dalam memberi pandangan dan penjelasan mengenai hukum syarak.
Ia bagi membolehkan Islam dilihat sebagai ‘ad-din’ yang menzahirkan kesefahaman dan kehormanian bermasyarakat.
Beliau berkata, perpaduan dan pesefahaman merupakan salah satu matlamat dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu membina negeri dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur dan sejahtera.
Katanya, ia juga selaras dengan gagasan Malaysia Madani dengan enam nilai teras yang mengukuhkan lagi nilai persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Menurut Hajiji, jabatan dan agensi yang terbabit dalam pengurusan hal ehwal Islam seperti Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Negeri perlu bekerjasama dan bergabung tenaga dalam menyelesaikan masalah umat Islam dan memartabatkan syiar Islam di negara ini.
“Hal ini juga akan memupuk keyakinan yang ampuh kepada pihak berautoriti agama dalam memberi penerangan yang jelas dan tuntas dalam isu agama sama ada politik, sosial, ekonomi dan seumpamanya agar kehidupan masyarakat Islam berteraskan kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah serta penjelasan daripada alim ulama yang muktabar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Ukhwah dan Mahabbah sempena Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-122 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini hari ini.
Hajiji berkata, Malaysia merupakan negara majmuk dari segi penduduknya, terutama negeri Sabah yang mempunyai 33 kumpulan pribumi yang bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
“Bayangkan betapa hebat dan uniknya khazanah budaya bangsa yang kami warisi ini. Saya sendiri mempunyai ramai saudara-mara yang berlainan bangsa, budaya dan agama.
“Kemesraan dan keharmonian tetap menguasai suasana dan ianya adalah semula jadi. Justeru, kemesraan dan keharmonian itulah sebenarnya nilai kekuatan yang memperkukuhkan perpaduan”, jelasnya.
Beliau percaya perbezaan bangsa, budaya dan agama yang wujud tidak akan menjadi batu penghalang kepada rakyat negeri ini memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan.
Katanya, nilai-nilai murni yang telah berakar umbi di negeri ini akan terus diwarisi dan menjadi pegangan hidup generasi akan datang dan beberapa generasi yang seterusnya.
Hajiji berkata, semangat toleransi dalam beragama sangat tinggi di Sabah sehingga isu-isu berkaitan keagamaan hampir tidak kedengaran.
Menyentuh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI di Kota Kinabalu, beliau berkata ia merupakan medium untuk membincangkan dan memutuskan perkara-perkara yang berkaitan Hal Ehwal Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja.
Katanya, pandangan dan keputusan yang dicapai dalam muzakarah itu amat penting dan dinantikan oleh masyarakat Islam yang melibatkan isu-isu semasa berkaitan dengan kehidupan umat Islam.