Sabah komited laksana pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam

Estimated read time 4 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Anti rasuah (KITA 2023) adalah inisiatif perdana yang mendukung pemboleh daya ini ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri yang cekap berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Justeru itu katanya, lima strategi utama telah digariskan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti berkenaan iaitu pertama melalui Komitmen pengurusan atasan.

“Kepimpinan kerajaan negeri amat menitik beratkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan, yang mana ia dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi dalam memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (Governans, Integriti dan Anti rasuah).

“Kedua, memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi. Pengurusan risiko rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.

“Ketiga, memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Sementara itu, keempat, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan oleh setiap pihak berkepentingan dalam organisasi di semua agensi kerajaan negeri Sabah dan kelima, pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai murni dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaandalam membanteras isu integriti dan rasuah,” katanya semasa merasmikan KITA 2023 & Sesi Penyerahan Sijil Tamat ProgramPegawai Integriti Bertauliah (CelO), di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya bukan sahaja sedang berusaha keras memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negeri, tetapi juga memantapkan sistem penyampaian kerajaan, agar menjadi lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.

Bagi mencapai usaha itu katanya, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Di Sabah, kerajaan negeri memetakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai landasan dengan hasrat membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan tanggungjawab setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Pemboleh daya keempat dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 adalah Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti.

“Nilai integriti merupakan asas dan keperluan utama dalam mencapai misi dan visi yang telah disasarkan.

Bagi tujuan ini, kecemerlangan tadbir urus boleh dicapai melalui empat strategi utama, iaitu meningkatkan agenda antirasuah; penerapan nilai-nilai murni dan etika kerja terbaik; memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang serta pembangunan pelan anti rasuah organisasi,” katanya.

KITA 2023 yang mengangkat tema “Integriti Teras Perkhidmatan Madani” adalah aspirasi kerajaan negeri untuk menganjurkan satu konvensyen bertemakan integriti yang telah dizahirkan oleh Ketua Menteri semasa Majlis Hari Integriti Negeri Sabah 2022.

“Lebih menarik lagi, KITA 2023 menjadi mercu kebanggaan kerajaan negeri Sabah sebagai tuan rumah rasmi yang mempunyai hak eksklusif sebagai penganjur.

Status ini menjadikan negeri Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.

“Tidak ketinggalan juga pendidikan kesedaran anti rasuah dikembangkan kepada semua peringkat usia dan memperkukuhkan lagi agenda mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai nilai murni dan membina sahsiah terpuji.

“Saya mengharapkan supaya segala inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan agar mampu memberikan manfaat dan pulangan langsung kepada rakyat,” katanya sambil menambah pengukuhan integriti merupakan komponen yang penting dalam melestarikan budaya integriti.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan inisiatif Minggu Integriti Kementerian melibatkan 10 kementerian dan Jabatan Ketua Menteri Pelaksanaan Minggu Integriti ini diselaraskan secara bergilir-gilir selama satu minggu melibatkan komitmen menteri, pengurusan tertinggi, pegawai dan semua warga kementerian termasuk jabatan, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan.

“Program ini merupakan kejayaan besar buat negeri Sabah melihat kepadakapasiti penglibatan yang menyeluruh, kualiti program dan satu-satunya dilaksanakan di Malaysia,” katanya.

Sebagai hala tuju dalam merakyatkan sistem penyampaian berintegriti, kerajaan negeri komited untuk terus mempelopori, menerajui dan menjadi penandaaras segala usaha pemantapan GIA di Malaysia melalui tiga terma rujukan iaitu melaksanakan penginstitusian tadbir urus berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan.

“Kedua, memperkasakan Sistem Pengurusan Aduan Awam yang cekap dan berkesan, manakala ketiga, memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dilaksanakan,” katanya.

You May Also Like