PUTATAN: Festival silat harus dimasukkan dalam kalender Sabah sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penganjur Sabah International Silat Festival 2023 (SISF2023) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi memastikan cadangan itu berjaya direalisasikan.
“Saya percaya menerusi festival seperti ini, ia boleh menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri berkunjung ke Sabah. Sebenarnya seni silat bukan hanya terdapat atau dikenali di negara kita atau di Nusantara, tetapi juga mula terkenal di negara-negara luar.
“Ramai individu asing, termasuk mereka yang berasal dari negara Barat, datang ke Malaysia dan ke Indonesia, semata-mata untuk mendalami ilmu persilatan. Ini menunjukkan bahawa seni silat adalah setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain,” katanya sempena Program Sabah International Silat Festival 2023 (SISF2023) di Dewan Sri Putatan, di sini hari ini.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Dalam pada itu, Hajiji mahu seni silat diketengahkan secara serius oleh persatuan-persatuan seni silat Sabah supaya popularitinya setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain.
Katanya, aktiviti persilatan di Sabah tidaklah serancak atau sehebat di Semenanjung kerana di negeri ini seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwando lebih mendominasi masyarakat di Sabah.
“Kita harus menarik minat generasi muda supaya terlibat dalam seni silat sebagai ilmu mempertahankan diri selain mengekalkan warisan pusaka bangsa itu secara turun temurun.
“Usaha ini harus diambil perhatian oleh persatuan-persatuan seni silat dan badan-badan bukan kerajaan yang lain, terutama persatuan-persatuan kebudayaan, agar menyelitkan aktiviti persilatan di dalam program yang dianjurkan.
“Saya menggalakkan anak-anak muda menceburi apa juga bidang berkaitan kesukanan, khususnya seni silat. Ia bukan hanya dapat mengisi masa lapang tetapi juga dapat menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan paling penting sebagai benteng yang dapat mempertahankan diri,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan negeri amat menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti riadah dan kesukanan termasuk seni silat.
“Saya berharap festival seperti ini dapat mencungkil bakat muda dalam seni silat di negeri ini, yang boleh diketengahkan untuk mengharumi nama negeri dan negara pada masa akan datang,” katanya.
SISF itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Sabah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Pejabat Perutusan BIMP-EAGA Sabah dan Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah).