KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin langkah mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) akan membantu meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula LPS bagi membangunkan industri padi serta beras di negeri ini.
“Kita berharap dengan pengwujudan semula LPS ini akan dapat meningkatkan paras tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import. Pengwujudan semula LPS dijangka dapat meningkatkan paras SSL beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
“Pada masa ini, SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus manakala, 78 peratus keperluan beras negeri ini ditampung melalui beras import daripada negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan,” katanya semasa Majlis Makan Malam Gala Peladang Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Fairuz Renddan.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, peladang di Sabah adalah komuniti penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri terutama dalam memastikan sektor makanan sentiasa terjamin.
Katanya, sektor pertanian tetap mendapat perhatian kerajaan kerana sektor itu merupakan pengeluar utama sumber makanan negara. Malah, sektor ini adalah teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Hajiji berkata, warga peladang harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam pertanian termasuk pengurusan ladang secara moden.
Tambah beliau lagi, peladang harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih merebut peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.
“Untuk mencapai hasrat ini, kita harus terbuka kepada idea, maklumat baharu dan mutakhir serta dapat menyesuaikannya mengikut keadaan dan masa.
“Saya yakin dengan sokongan dan komitmen semua warga peladang dan MAFFI, kita akan dapat menjayakan usaha ini,” ujarnya.
Katanya, sektor pertanian perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi canggih agar tidak ketinggalan berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan yang kini bertumbuh dengan pesat.
Bagaimanapun beliau yakin teknologi terbaru yang digunakan oleh pihak peladang iaitu ‘Internet Of Thing’ (IOT) merupakan medium kawalan pintar teknologi yang diaplikasikan dalam bidang pertanian bagi tujuan penggunaan teknologi seperti dron untuk meracun, membaja dan menabur benih, dapat mengurangkan kadar upah pekerja, selain mudah dan cepat.
Hajiji berkata, IOT juga digunakan dalam sistem pembajaan tanaman Fertigasi yang dapat dikawal melalui aplikasi telefon pintar dan jaringan internet untuk lebih cekap dan ekonomik bagi penghasilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang optimum.