GRS perlu menang PRN demi kesinambungan pembangunan

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

MEMBAKUT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang bagi memastikan usaha membangunkan negeri ini akan dapat diteruskan.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, di peringkat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang diterajui olehnya, mereka mula memperkukuhkan kedudukan parti menerusi penubuhan 73 bahagian, biarpun parti itu baru berusia tujuh bulan.

Beliau rasa gembira melihat Gagasan Rakyat kini diterima baik dalam kalangan rakyat di seluruh pelusuk negeri yang mahu diterajui parti tempatan.

“Sebagai parti berbilang bangsa, kami (Gagasan Rakyat) akan mengutamakan pembangunan dan politik tempatan.

“Ini adalah platform terbaik untuk perjuangan kita demi rakyat Sabah. Gagasan Rakyat dibentuk untuk memenuhi aspirasi rakyat dan kita mahu bekerjasama dengan parti tempatan lain dalam GRS.

“Kita bangga Gagasan Rakyat mampu menggerakkan jenteranya dengan lancar, ini adalah petanda baik bahawa parti ini dan GRS akan bergerak lancar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya semasa pelancaran Gagasan Rakyat Bahagian Membakut, di sini hari ini.

Dalam majlis berasingan, Ketua Menteri Sabah itu turut menandatangani plak sebagai tanda Membakut kini menjadi daerah penuh di Pejabat Sekritariat.

Hajiji itu turut meluluskan peruntukan untuk membina sebuah Dewan Komuniti baharu di Membakut bagi menggantikan dewan sedia ada yang kini sudah usang.

Katanya, penduduk di sini bakal menerima dewan baharu itu tahun hadapan dan kemudahan itu sesuai dengan Membakut sebagai daerah penuh.

“Kos pembinaan dewan baharu ini akan ditentukan oleh Jabatan Teknikal dan Pejabat Daerah,” katanya.

Jelas beliau, Membakut diwartakan sebagai daerah penuh pada 30 Mac 2022 yang terdiri daripada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.

You May Also Like