Bilakah mereka akan berhenti? Mungkin tidak sama sekali! Mereka akan berterusan mereka-reka cerita yang kononnya betul dalam usaha memfitnah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini adalah cara golongan terdesak dan individu yang gila kuasa untuk mendapat perhatian dan sokongan rakyat.
Tetapi mereka sebenarnya amat naif jika percaya rakyat Sabah mudah tertipu dan tidak tahu menilai situasi politik sebenar.
Baru-baru ini, kumpulan terdesak ini memuat naik di media sosial dakwaan salah guna kuasa berhubung kelulusan tanah di Kudat.
Bagaimanapun, apa yang mereka gagal lakukan ialah membuktikan tuduhan murahan mereka terhadap Ketua Menteri dan kerajaan.
Hajiji telah menjawab tuduhan tersebut dengan segera, menyatakan bahawa semua permohonan telah mematuhi prosedur dan melalui proses dalam Jawatankuasa Penggunaan Tanah.
Tambahan pula, permohonan terhadap tanah milik Yayasan Sabah itu telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd. Semuanya dilakukan mengikut undang-undang.
Hajiji sebenarnya telah membuktikan ketelusan yang diamalkan GRS dalam memerintah negeri Sabah.
Saya juga percaya jawapan segera daripada Ketua Menteri terhadap isu ini akan mendapat sokongan rakyat.
Jelas bahawa tiada perkara yang disembunyikan, sebaliknya tuduhan tersebut amat mengarut.
Menurut Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, taktik tersebut merupakan perkara biasa yang dilakukan parti pembangkang utama di negeri ini.
Joniston yang juga ADUN Kiulu dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pihak yang melakukan tuduhan sebenarnya melakukannya secara membuta-tuli dengan mereka-reka cerita dongeng rasuah dengan harapan mendapat manfaat.
Perlu ditegaskan bahawa sejak tiga tahun memerintah, Hajiji telah membuktikan kepimpinannya.
Beliau bukan sahaja berjaya menyatukan gabungan yang paling besar dalam politik, malah beliau juga menerajui peningkatan ekonomi negeri.
Hasil pelaburan besar sebanyak RM12 bilion sejak dua tahun lalu adalah bukti kepada kepimpinan beliau.
Sesungguhnya, perkara-perkara itu menunjukkan bahawa Sabah berada di landasan tepat di bawah pemerintahan beliau.
Pelan Tindakan Sabah Maju Jaya adalah cetusan idea beliau yang telah menarik masuk berbilion pelaburan asing dan tempatan serta mampu menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.
Sebagai pemimpin sebuah gabungan besar, Hajiji amat tenang dan tidak tidak terganggu – pemimpin yang melakukan tugasnya dengan tekun.
Beliau bukan pemimpin yang suka bertelingkah.
Tapi bagi sesetengah tuduhan liar, memang amat mustahil untuk dibiarkan sahaja.
Beliau yang juga Pengerusi GRS tahu golongan terdesak ini tidak akan berhenti berusaha menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik dengan harapan sokongan rakyat berubah.
Tetapi fakta yang tidak dapat dinafikan sekarang ialah Kerajaan GRS adalah yang terbaik dengan rekod yang tidak tercela.
Inilah realitinya, bukan cerita fiksyen yang direka dalam kalangan pembangkang yang terdesak.
Polisi penting Kerajaan GRS adalah membawa kestabilan, memastikan pertumbuhan dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.
Menjelang tahun 2025 nanti, rakyat Sabah akan kembali ke peti undi untuk memilih kerajaan baharu.
Namun saya pasti ketika ini rakyat Sabah sudah pun membuat keputusan.
Komentar by FCBH