Belanjawan 2024: Peruntukan RM6.6 bilion bantu seimbang pembangunan Sabah, Semenanjung

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2024 dilihat sebagai manifestasi dukungan kerajaan perpaduan dalam membantu menyeimbangkan pembangunan antara wilayah Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, peningkatan peruntukan sebanyak RM100 juta itu adalah sebahagian usaha kerajaan Persekutuan dalam memenuhi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri Sabah menyambut baik dan mengalu-alukan penyediaan peruntukan tersebut dan bertekad untuk menjadikannya inspirasi apabila kita membentangkan Belanjawan negeri Sabah 2024 tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai ‘Belanjawan Merakyat’ kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai fokus dan teras keutamaan.

Katanya, inti pati Belanjawan 2024 jelas menunjukkan komitmen kerajaan perpaduan menjurus ke arah mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

“Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana menjadi tumpuan Belanjawan 2024. Inilah yang saya maksudkan sebagai belanjawan merakyat,” katanya.

Menurut beliau, belanjawan kedua yang dibentangkan sejak Anwar mengambil alih teraju pemerintahan itu menunjukkan wilayah Borneo terus digerakkan dalam arus pembangunan negara apabila Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM5.8 bilion.

Beliau berkata, dasar fiskal yang lebih baik dan progresif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini, akan membawa impak besar kepada Sabah dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negeri ini dan menarik pelaburan asing.

“Kita melihat dasar yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 ini sebagai amat inklusif, dengan mengambil kira keadaan ekonomi global,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah akan terus berusaha memperkasa pertumbuhan bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan.

Jelas beliau, inti pati Belanjawan Madani 2024 itu akan diambil kira dan disesuaikan dengan teras hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi Belanjawan negeri Sabah 2024 nanti.

Beliau juga membayangkan bahawa Belanjawan Sabah 2024 akan turut bersifat merakyat kerana itulah yang diperjuangkannya sejak mengambil alihterajupemerintahan negeri tiga tahun lalu.

Sehingga kini, perdagangan negeri Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

Selain itu katanya, dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

You May Also Like