Lebih 20 laporan polis desak siasat penyebar maklumat palsu isu tanah Kudat

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Lebih 20 laporan polis dibuat bagi mendesak agar penyebar maklumat yang mendakwa Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor terlibat dalam salah guna kuasa berhubung permohonan tanah di Pulau Balambangan, Kudat disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak siasatan dilakukan terhadap pemilik akaun Facebook yang membuat dakwaan liar terhadap Ketua Menteri.

Beliau berkata, persatuan itu juga antara yang membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Edisi Panas Sabah kerana menyebar fitnah yang mendakwa berlaku salah laku dalam isu permohonan tanah tersebut.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, pemimpin kanan pembangkang di Sabah usah berlagak sebagai hero ingin membantu bekas pekerja Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang sedangkan beliau antara punca kilang kertas itu kekal ditutup.

“Pemimpin pembangkang itu tanpa rasa malu datang ke sana semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu mahu membantu orang SFI tapi, dia antara punca SFI ditutup seperti didakwa oleh Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad. Sebelum ini, Tengku Fuad mendakwa SFI disabotaj oleh parti berkenaan.

“Jadi, usah berlagak hipokrit kerana semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka tidak meluluskan lesen syarikat yang mengambil alih pengurusan SFI selepas kilang tersebut hentikan operasi pada 2017,” kata dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kenyataan dibuat Tengku Fuad itu tidak benar mengapa sampai sekarang pemimpin pembangkang itu tidak memberi jawapan balas mengenai dakwaan yang dibuat.

Katanya, kalau mereka anak jantan, pemimpin parti politik tersebut yang begitu lantang bersuara seharusnya mengenakan tindakan saman terhadap Tengku Fuad yang merupakan Penasihat Undang-Undang kepada kerajaan negeri.

Susulan kenyataan itu, G57 telah membuat laporan polis di Kuala Lumpur bagi menyiasat tentang penglibatan pemimpin pembangkang itu dalam usaha mensabotaj SFI.

Dalam pada itu, beliau juga akan mengemukakan surat kepada Ketua Menteri dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi membantu menyambung semula bekalan elektrik di rumah pekerja SFI.

“Kita mahu meminta ehsan Ketua Menteri agar meminta bantuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menampung sebahagian tunggakan bil elektrik di rumah pekerja SFI tersebut. Bekas pekerja SFI itu tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Jadi, kita harap kerajaan prihatin sikit untuk meminta kerjasama GLC untuk menghulurkan sedikit bantuan bagi menjaga kebajikan 600 orang penduduk yang masih berada di rumah pekerja SFI tersebut,” katanya.

Ketika ini, 600 penduduk di rumah pekerja SFI masih tinggal di kawasan penempatan itu tanpa bekalan elektrik selama lebih lima bulan.

You May Also Like