KOTA KINABALU: Ambil tindakan tegas terhadap penyebar maklumat palsu yang cuba mencemarkan imej Ketua Menteri melalui media sosial berhubung isu permohonan tanah di Kudat.
Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Annabell Perian berkata, dakwaan salah guna kuasa membabitkan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merupakan dakwaan berunsur fitnah.
Beliau berkata, hantaran seumpama itu dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat.
“Tindakan tegas wajar diambil terhadap penyebar maklumat palsu yang berunsur fitnah yang mencemarkan imej Ketua Menteri itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tuduhan liar yang dibuat melalui Facebook itu mencerminkan satu sikap yang tidak bertaggungjawab.
“Jangan cemari kandungan media sosial kita dengan perkara seumpama itu kerana kita semua harus berpegang kepada prinsip menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab.
“Setiap satu hantaran kita di media sosial akan kekal dan dilihat kelak oleh anak cucu dan generasi akan datang, malu jika generasi akan datang melihat sifat-sifat tidak bertanggungjawab dan hasad dengki seumpama ini di media sosial,” katanya.
Annabell berkata, penyalahgunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh membawa kepada perpecahan dan perselisihan dalam kalangan masyarakat.
Pengguna media sosial perlu bijak dalam menilai dan jangan mudah terpengaruh dengan sebaran maklumat yang tidak sahih dan menyebarkannya.
Terdahulu, Annabell yang juga merupakan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sungai Sibuga bersama Ketua Bahagiannya, Datuk Amirshah Yaakub dan ahli-ahli parti membuat laporan polis berkenaan dakwaan berbaur fitnah terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri itu.
Dalam hantaran media sosial di Facebook, Hajiji didakwa menyalah guna kuasa kelulusan permohonan tanah di Kudat yabg dikaitkan dengan perlombongan pasir silika.
Pada Isnin lalu, Hajiji telah mengeluarkan kenyataan bagi menyangkal dakwaan yang mengaitkan namanya terlibat dalam salah guna kuasa bagi permohonan tanah di Kudat.
“Dakwaan itu bersifat jahat, bermotifkan politik dan ingin memburukkan nama saya. Pejabat saya akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan berkaitan dakwaan tersebut,” katanya.