Program TVET relevan bantu majukan ekonomi Sabah

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat relevan dalam usaha Sabah untuk terus memajukan sektor ekonomi yang bertunjangkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, program TVET mampu mempersiapkan graduan dengan tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Beliau berkata, Sabah yang mempunyai sumber alam semula jadi, minyak dan gas, sektor pertanian dan plancongan, mahu memajukan sektor pembuatan atau perkilangan sejajar dengan usaha kerajaan yang telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan.

“Kerajaan telah berjaya membawa ramai pelabur asing untuk membuka perniagaan mereka di negeri ini, antaranya kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis dan kilang pembuatan kaca solar, Kibing.

“Kerajaan negeri telah menetapkan sebanyak 80 peratus tenaga kerja bagi kilang ini adalah penduduk tempatan.

“Namun sayangnya kekosongan yang ditawarkan belum dapat diisi sepenuhnya kerana tenaga kerja di Sabah masih kekurangan kemahiran yang diperlukan,” katanya semasa majlis perasmian Sabah TVET Symposium 2023, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Katanya, dengan menyelaraskan program TVET mengikut keperluan industri, dapat memastikan graduan bukan hanya boleh mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan malah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pemupukan budaya inovasi.

Menurutnya, ibu bapa di Sabah juga perlu sentiasa berfikiran terbuka dan tidak menganggap pendidikan TVET sebagai pilihan ketiga atau keempat. Sebaliknya perlu menyedari bahawa TVET adalah sangat penting dalam era Revolusi Industri 4.0.

“Golongan belia perlu merebut peluang menceburi bidang TVET kerana kursus yang ditawarkan telah disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan,” tegasnya.

Hajiji berkata, TVET bukan hanya sekadar melengkapi individu dengan kemahiran, ia juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi, selain berkait rapat dalam memupuk inovator, usahawan, dan pekerja mahir yang mendorong kemajuan Sabah di abad ke-21.

Beliau berkata, dalam era teknologi masa kini, pendigitalan dan ‘Artificial intelligence (AI)’ merupakan sumber daya baharu yang boleh menggantikan manusia dalam melakukan tugasan dan amat penting mempersiapkan anak-anak muda negeri ini untuk beradaptasi dengan kemajuan-kemajuan teknologi dalam mengharungi cabaran mendatang.

Justeru katanya, Sabah TVET Symposium 2023 yang bertemakan ‘Peranan TVET dalam memacu inovasi dan pengasahan bakat di negeri Sabah’ jelas menunjukkan bahawa institusi TVET di Sabah merupakan barisan hadapan yang akan menyelusuri kepada transformasi itu, selain sebagai pusat pembelajaran juga pusat inovasi dan pembangunan kemahiran.

Hajiji berkata, kejayaan TVET tidak hanya bergantung pada institusi pendidikan, sebaliknya adalah usaha kolektif yang memerlukan komitmen kerajaan, industri, dan masyarakat ekonomi.

Beliau berharap Persatuan TVET Sabah (PeTS) yang menyatukan hampir seluruh institusi TVET di Sabah, akan menjadi platform untuk berkongsi maklumat berkaitan TVET, selain membincangkan polisi berkaitan TVET yang boleh diketengahkan kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Sabah.

You May Also Like