KOTA KINABALU: Jika ada bukti kukuh yang menyokong dakwaan salah guna kuasa, sepatutnya ia sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tanpa perlu berlegah.
Hakikatnya pembangkang tidak mempunyai sebarang bukti kerana bukti itu tidak wujud.
Pertuduhan salah guna kuasa yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor itu sekadar tuduhan liar yang tidak berasas.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pembangkang mendakwa Ketua Menteri terlibat dalam salah guna kuasa.
“Apa maksud mereka dengan salah guna kuasa? Sekiranya ada bukti kukuh yang menyokong dakwaan tersebut maka, ia sepatutnya sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa tanpa perlu berlengah.
“Kenapa mereka harus memilih menabur fitnah melalui media sosial, ini satu tindakan berniat jahat. Malangnya mereka tidak mempunyai sebarang bukti yang menyokong dakwaan tersebut kerana bukti itu memang tidak wujud.
“Ia jelas menunjukkan orang yang menabur fitnah itu membuat tuduhan liar dengan reka cerita tentang kesalahan rasuah dengan harapan taktik itu akan berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Joniston, kenyataan Ketua Menteri semalam cukup jelas dalam menunjukkan sifatnya sebagai seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada integriti dan tadbir urus yang baik.
Maklum balas yang pantas itu membuktikan Hajiji ingin memperbetulkan dakwaan yang tidak berasas itu.
Katanya, situasi yang sedang berlaku jelas menunjukkan Hajiji menjadi mangsa fitnah dan pertuduhan tidak berasas berhubung isu kelulusan permohonan tanah di Kudat.
Tindakan sebegitu bertujuan untuk mencalar reputasi Ketua Menteri yang begitu cemerlang. Perbuatan sebegitu adalah satu cubaan menabur fitnah terhadap penjawat awam yang berdedikasi.
Ia menampakkan usaha mereka untuk merosakkan imej Hajiji dan taktik itu sering digunakan oleh parti politik tersebut.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, apa yang perlu dijelaskan adalah kerajaan GRS tidak bertindak seperti didakwa. Ketua Menteri cukup tegas dalam mematuhi semua prosedur yang telah ditetapkan.
Jika dilihat ada pihak yang berusaha untuk menabur fitnah yang tidak berasas. Strategi sebegitu dilihat penuh dengan tuduhan palsu dengan harapan ada orang yang mempercayai fitnah yang disebarkan.
Malangnya, memang ada segelintir pihak yang akan mempercayai dakwaan tidak sahih sebegitu dan mereka sepatutnya tidak terpengaruh dengan taktik kotor tersebut.
Insiden ini membuktikan pembangkang berusaha keras untuk mengkritik kerajaan kerana prestasi baik yang ditunjukkan.
Semasa pemerintahan mereka (Warisan), mereka mengenepikan kepentingan Sabah sebaliknya, mereka fokus kepada nepotisme dan memenuhi kehendak kumpulan yang tidak mempunyai hak untuk menetap di Sabah, hingga mengakibatkan pertumbuhan KDNK negeri menurun kepada negatif 9.2 peratus.

Berbeza dengan pemerintahan GRS yang tidak terbukti membawa banyak kejayaan. Tindakan, dasar dan penglibatan berterusan masyarakat di bawah kerajaan GRS menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dan ia terbukti menerusi peningkatan hasil Sabah kepada RM7 bilion pada tahun lalu.
Dengan peningkatan hasil negeri itu, peruntukan tahunan bagi pembangunan kecil di 73 kawasan DUN bertambah dari RM2 juta kepada RM3 juta pada tahun ini.
Setiap keputusan yang diambil dan projek yang diusahakan adalah demi kebajikan dan kemakmuran rakyat Sabah.
Walaupun GRS berhadapan pelbagai cabaran dan sedang mencipta kejayaa namun, keutamaan GRS tidak berubah iaitu untuk melahirkan Sabah yang makmur, bersatu dan berdaya saing atau dalam kata lain, Sabah Maju Jaya.