Kerajaan GRS bersikap Terbuka, Tidak Sembunyi Isu

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Kerajaan GRS membuktikan bahawa pentadbiran sekarang mengambil pendekatan terbuka dan tidak menyembunyikan apa-apa jika wujud isu tertentu termasuklah tuduhan tidak berasas mengenai empat bidang tanah di Kudat.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai berkata, walaupun tiada laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat, namun Ketua Menteri sendiri tampil menjawab tuduhan tersebut kerana beliau tahu isu yang ditimbulkan hanyalah permainan politik pembangkang.

Katanya, jawapan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengenai isu itu semalam turut membuktikan kesediaan beliau memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membuktikan tuduhan yang dibuat hanyalah bermotif politik dan untuk memburukkan namanya.

“Kerajaan GRS tidak menyembunyikan apa-apa dalam hal ini malah bersedia memberi kerjasama meskipun belum ada siasatan dijalankan kerana isu membabitkan tanah itu telah melalui prosedur yang betul.

“Ketua Menteri memilih untuk berterus-terang adalah lebih baik kerana beliau tidak menyembunyikan apa-apa berbanding sikap pemimpin tertentu yang akan melakukan segala-galanya untuk memastikan isu seperti ini tidak diketahui umum,” katanya kepada Borneo Gazette hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyifatkan dakwaan salah guna kuasa berkaitan urus niaga tanah membabitkan Hajiji sebagai rekaan saja.

Beliau berkata, dakwaan disebarkan di laman Facebook itu adalah cubaan pihak pembangkang untuk mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah kerana ia dipenuhi fakta rekaan.

Sementara itu, Moh Chai berkata, isu tersebut ternyata menjadi senjata politik pembangkang terutama pemimpin Warisan yang sunyi sepi selama ini kerana ketiadaan isu untuk menghentam kerajaan.

Katanya, tuduhan mengenai tanah itu yang turut mendedahkan beberapa keping gambar sebenarnya membuktikan kepada umum bahawa permohonan tanah yang dibuat oleh empat syarikat terlibat telah melalui prosedur yang betul melalui agensi kerajaan bukannya dibuat oleh Ketua Menteri.

“Saya sudah melihat semua dokumen yang didedahkan dan jelas bahawa surat-surat kelulusan itu dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan selepas melalui proses penilaian .

“Sebab itulah saya katakan Kerajaan GRS tidak menyembunyikan apa-apa kerana proses itu mengikut undang-undang bukannya melalui jalan pintas seperti yang didakwa.

“Tetapi seperti biasa pemimpin Warisan akan bercakap tentang perkara ini kerana mereka tidak mempunyai isu lain, malah fokus mereka ialah memastikan Kerajaan GRS dibenci dan untuk menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

habis

You May Also Like