Keharmonian hubungan masyarakat perlu sentiasa dipertahankan: Hajiji

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Keharmonian yang terbina dalam hubungan masyarakat pelbagai budaya, bangsa dan agama di Sabah perlu sentiasa dipertahankan.

 Itu merupakan kekuatan dan identiti penting negeri Sabah yang mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perbezaan kaum dan agama bukan penghalang untuk hidup bersama secara harmoni. Sikap saling toleransi, hormat menghormati dalam kalangan rakyat adalah antara kunci kejayaan negeri Sabah mengekalkan perpaduan kaum.

Hajiji juga menyeru supaya ikatan persaudaraan umat Islam di rantau ini terus diperkukuhkan atas tautan “ukhuwwah islamiyyah” dan pertahankan amalan kesederhanaan serta perpaduan agar tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh unsur-unsur yang ekstrem.

Katanya, persaudaraan itu penting kerana ia menjadi pengikat kepada usaha-usaha keharmonian dan kemakmuran berasaskan prinsip-prinsip keadilan, Rahmah dan kasih sayang. Ajaran Islam juga menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan.

“Melalui nilai-nilai tersebut, kita dituntut untuk menghormati perbezaan yang terdapat dalam masyarakat dan menerima realiti kepelbagaian seperti yang digariskan dalam Islam,” katanya ketika merasmikan Seminar Keharmonian Serantau di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Hj Mohd Arifin Datuk Hj Mohd Arif.

Katanya, dalam memperkukuhkan kesatuan ummah serantau bagi mendepani cabaran-cabaran global masa kini, umat Islam perlu diperlengkapkan dengan keupayaan intelektual, kreativiti dan daya saing yang tinggi, termasuk cabaran perubahan kepadabcara hidup yang berupaya memberi kesan kepada hubungan dalam Masyarakat pelbagai budaya dan agama.

Menurutnya, umat Islam sebagai masyarakat yang dipimpin oleh nilai-nilai agama dan isu-isu negatif yang melebarkan lagi jurang perbezaan dalam masyarakat perlu diselesaikan dengan baik.

Sehubungan itu, Hajiji meminta umat Islam di negara ini khususnya di Sabah supaya tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan ekstreme yang mampu menggugat keamanan, perpaduan dan persaudaraan serta keharmonian negara.

Hajiji berkata, wacana keharmonian dan kemakmuran tidak boleh lari daripada membincangkan dimensi kepelbagaian umat manusia secara keseluruhan.

“Rantau ini khususnya, terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang sememangnya merupakan satu dimensi yang perlu diurus dengan cara yang terbaik.

“Saya mengharapkan keharmonian dan keamanan yang terjalin dalam kalangan masyarakat yang pelbagai di rantau ini menjadi model kepada dunia,” tegasnya.

You May Also Like