Gagasan Rakyat lapor polis, siasat pihak sebar fitnah terhadap Ketua Menteri

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membuat dua laporan polis berhubung paparan tular dalam laman Facebook yang cuba mencemarkan imej Ketua Menteri mengenai isu urus niaga tanah di Kudat.

Dua laporan polis dibuat semalam masing-masing di Balai Polis Kinarut, Papar dan Kota Belud.

Pemimpin Gagasan Rakyat dalam satu kenyataan berkata, laporan polis itu dibuat bagi menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap pengendali laman Facebook Page Edisi Panas Sabah atau mana-mana pihak berkaitan dalam penyebaran fitnah yang mendakwa Ketua Menteri terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dalam isu urus niaga tanah di Kudat.

Laporan itu juga menyebut tentang tuduhan berniat buruk dan berbaur fitnah terhadap Ketua Menteri kerana mereka tidak senang hati melihat pencapaian baik kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua-Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Usukan, Tempasuk dan Pintasan serta aktivis sosial pro-kerajaan.

Berdasarkan laporan itu, kesemua mereka mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyebaran fitnah berkenaan. Malah, siasatan juga harus dibuat terhadap pihak yang membocorkan rahsia kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Semalam, Hajiji dalam satu kenyataan menyangkal dakwaan terlibat dalam salah guna kuasa bagi urus niaga tanah di Kudat.

Menurut beliau, paparan tular dalam laman Facebook itu sebagai satu dakwaan berniat jahat, bermotifkan politik dan ingin memburukkan Namanya selaku Ketua Menteri.

Katanya, semua permohonan dilakukan menerusi prosedur yang diperlukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah. Permohonan untuk tanah Yayasan Sabah itu telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semua proses dilakukan mengikut undang-undang.

You May Also Like