Hajiji sangkal dakwaan salah guna kuasa urus niaga tanah di Kudat

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyangkal dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam urus niaga tanah di Kudat.

“Dakwaan itu bersifat jahat, bermotifkan politik dan ingin memburukkan nama saya. Pejabat saya akan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan berkaitan dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semua permohonan dilakukan menerusi prosedur yang diperlukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah.

“Permohonan untuk tanah Yayasan Sabah itu telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd dan semua proses dilakukan mengikut undang-undang,” katanya bagi mengulas dakwaan yang tular dalam laman media sosial.

Menurut Hajiji, siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mendedahkan dokumen rahsia yang digunakan untuk membuat dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga telah dimaklumkan mengenai pengguna akaun Facebook yang memaparkan dakwaan yang ingin mencemarkan imejnya.

“Saya akan mendapatkan nasihat peguam saya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu sebegitu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyatakan dakwaan salah guna kuasa berhubung urus niaga tanah yang tular dalam laman Facebook itu dipenuhi dengan fakta yang direka-reka.

“Berdasarkan semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menunjukkan semua permohonan tanah telah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada. Malah, tiada hak milik tanah dikeluarkan untuk empat permohonan tanah yang disebut,” katanya.

You May Also Like