Hentikan perbalahan politik, fokus pembangunan Sabah-Hajiji

Estimated read time 2 min read
Social Sharing

TAMPARULI: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru semua pihak untuk hentikan perbalahan dalam politik bagi memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.

“Kurangkan berpolitik agar kita dapat memberi sepenuh tumpuan kepada pembangunan Sabah.

“Kita mesti memastikan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ) dilaksanakan dengan jayanya,” kata Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tersebut.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli di Dewan Tun Hamdan hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menetapkan hala tuju bagi membangunkan Sabah.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS itu berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19 dan politik yang tidak menentu di peringkat Persekutuan, Sabah berjaya melangkah maju ke hadapan melalui Hala Tuju SMJ.

Kata beliau lagi, fokus utama Gagasan Rakyat yang diketuai olehnya adalah pembangunan Sabah.

“Kami (Gagasan Rakyat) tidak bersaing dengan rakan-rakan lain dalam GRS. Penubuhan Gagasan Rakyat bukannya untuk berpolitik sebaliknya, kami ingin fokus kepada aspek pembangunan negeri Sabah.

“Maka, penubuhan Gagasan Rakyat penting dalam memperkukuh kerjasama dengan parti gabungan dalam GRS di seluruh 73 bahagian,” ujarnya.

Beliau berkata, pengukuhan perpaduan amat penting bagi membolehkan GRS terus menerajui kerajaan negeri Sabah.

Katanya, walaupun Gagasan Rakyat baru berusia tujuh bulan namun, beliau gembira melihat kematangan pemimpin dan ahli-ahli parti berkenaan.

Beliau juga berbangga melihat Gagasan Rakyat Tamparuli yang dipimpin oleh Datuk Alijus Sipil kini mempunyai 68 cawangan dan 2,000 orang ahli.

You May Also Like