KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyarankan semua barisan kepimpinan negeri agar menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas berdedikasi dan berintegriti.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat hendaklah digalas dengan sepenuh hati agar agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu dicapai dengan penuh kecemerlangan.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan berusaha menyediakan pelbagai kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat terutamanya golongan belia seperti latihan dan kursus.
“Ini bagi membolehkan mereka mempelajari dan meneroka kemahiran baharu sehingga mampu menjana pendapatan bagi membantu ekonomi keluarga,” katanya semasa Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin Yang Dipertua Negeri Sabah, semalam.
Dalam pada itu, beliau juga mengajak rakyat di negeri ini sama-sama mengekalkan keamanan dan keharmonian tanpa mengira fahaman fahaman politik, bangsa dan agama seperti yang dihasratkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Ia bagi memastikan rakyat terus hidup dalam keadaan selesa dan makmur lebih-lebih dalam usaha untuk terus membangunkan negeri ini.
“Kepelbagaian suku kaum, etnik, agama dan budaya di negeri ini adalah lambang keharmonian dan keunikan yang amat bernilai.
“Ia bukan sahaja menjadikan negeri ini unik dalam aspek keharmonian dan perpaduan, tetapi ia adalah khazanah yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.
“Saya berharap suasana ini sentiasa kita jaga dan pertahankan dengan cara menjaga perpaduan dan saling hormat menghormati demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Sabah,” katanya.