KOTA KINABALU: Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) mencatatkan kejayaan yang singnifikan terhadap pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan di negeri ini.
Penganjuran itu bukan hanya mencatatkan jualan di kaunter yang melonjak naik kepada RM 8.94 juta malah, ia turut menyaksikan kerjasama dalam pelaburan berimpak tinggi antara syarikat tempatan Sabah dan Brunei Darussalam.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, SIE 2023 telah menarik perhatian lebih daripada 50,000 pengunjung dengan peningkatan yang ketara dalam daya tarik dan pengaruh antarabangsa.
Dari segi jualan kaunter pula, sejumlah RM8.94 juta jualan dicatatkan dan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding RM 456,000 jualan yang diperoleh pada 2016.
Bagi pertumbuhan pesat permintaan pada masa hadapan, ia menunjukkan peningkatan daripada RM30 juta pada 2016 kepada RM 160 juta pada 2017, menunjukkan kesan mendalam SIE terhadap usaha syarikat dan harus diberi perhatian yang sewajarnya.
Beliau berkata, ekspo tahun ini adalah bukti kepada keunggulan Sabah dalam pembangunan perindustrian dan keusahawanan.
Dengan kehadiran 340 pempamer dari 21 negara, SIE 2023 telah mengatasi pencapaian edisi sebelumnya yang hanya menempatkan 151 pempamer dari 14 negara pada 2016.
Buat julung kalinya dalam sejarah, kerajaan Sabah memberikan sokongan sepenuhnya kepada SIE dan ia merupakan perkembangan penting yang mencerminkan status ekspo ini ke satu tahap yang lebih berprestij.
Penganjuran SIE 2023 dengan kerjasama kementerian dan Pengerusi Penganjur Bersama SIE 2023 iaitu Pengerusi MICCI Sabah Datuk Lee Swi Heng dan Presiden FSI Richard Lim telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang dengan memupuk budaya kerjasama dan inovasi yang meningkatkan SIE 2023 ke tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Satu ciri menarik SIE 2023 adalah penampilan sulung Pavilion Sabah, yang mewakili kolektif agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Invest Sabah Berhad, SEDCO, KKIP Sdn. Bhd, SOGDC, POIC Sabah dan SEDIA.
Dalam Pavilion ini, DIDR menampilkan 14 usahawan tempatan, mengukuhkan komitmen Sabah dalam memupuk bakat tempatan dan meningkatkandaya tahan ekonomi.
Semangat kerjasama antarabangsa ditunjukkan melalui pelancaran Mini Thailand Week, yang diterajui oleh Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia.
Segmen ini mempamerkan 74 pempamer dari Thailand, mempamerkan pelbagai produk seperti makanan dan minuman, teknologi pertanian pintar, dan inovasi lain, mendorong pertukaran budaya dan pembelajaran bersama.
Selain itu, SIE 2023 telah menggalakkan kerjasama pelaburan berimpak tinggi, seperti yang terbukti melalui penandatanganan empat Memorandum Persefahaman(MoU) antara Brunei dan syarikat tempatan Sabah yang dikenali sebagai Jetsin Sdn Bhd.
Perjanjian ini menandakan perkongsian yang harmoni, yang menjanjikankemajuan inovatif dalam bidang produk pemprosesan makanan.
Jelasnya, beliau juga berharap lebih banyak kejayaan dicapai dalam penganjuran SIE yang akan datang.