Pendekatan sederhana formula terbaik majukan umat Islam-Hajiji

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Pendekatan yang serba sederhana atau “non extreme” merupakan formula terbaik untuk memajukan umat Islam tanpa menggugat kedudukan golongan bukan Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan ini dirasakan sangat sesuai bagi menjamin keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, seperti yang wujud di Sabah, negeri yang menjadi tanah tumpah darah kepada 33 kumpulan pribumi yang bertutur dalam 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

“Justeru, sudah pasti kesederhanaan yang kita amalkan ini amat penting dalam kita menjaga dan memupuk keharmonian dan perpaduan dalam negeri dan negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menyantuni dan menyempurnakan penangguhan konvensyen berkenaan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program-program keagamaan dan kerohanian dengan memperuntukkan sejumlah RM176.16 juta pada tahun ini untuk perbelanjaan operasi.

Menurutnya, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Kerajaan memastikan rakyat hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera.

“Perbezaan agama bukan penghalang untuk kita hidup rukun dan damai. Ia juga tidak akan menjadi penyebab untuk kita hidup bermusuhan turun temurun.

“Agama itu mengajak kepada kebaikan serta memupuk perpaduan, selain mengajak kepada nilai-nilai murni, hormati menghormati dan saling percaya mempercayai.

“Apatah lagi dalam agama Islam itu sendiri yang asasnya adalah keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup,” katanya.

Hajiji berkata, pentadbiran Islam di Malaysia telah berkembang dengan pesat seiring dengan perubahan dan kemajuan yang dicapai selama lebih 60 tahun sejak merdeka.

Menurutnya, penganjuran program ijtimak dapat memberikan pencerahan terhadap beberapa isu berkaitan hal ehwal agama, sekaligus memberikan kesefahaman yang jitu dalam urusan hal ehwal Islam di antara agensi-agensi agama yang terlibat.

Beliau berkata, jaringan kerjasama dan kesatuan antara agensi agama Persekutuan dengan agensi agama di negeri-negeri wajar diteruskan ke arah mengemaskini dan memantapkan lagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam di negara ini demi kepentingan masyarakat Islam seluruhnya.

Katanya, ia akan memastikan agensi agama Islam tidak ketinggalan, bahkan selari dengan urusan pentadbiran kerajaan di negara ini, kerana kebersamaan dan kesatuan adalah kekuatan bagi agensi agama dalam menghadapi cabaran pengurusan hal ehwal Islam yang semakin mencabar.

Hajiji juga yakin program ijtimak itu akan mempertingkatkan pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri-negeri di Malaysia, termasuklah di negeri Sabah.

“Pengurusan hal ehwal Islam berbeza dengan pengurusan biasa kerana peranannya bukan sekadar pentadbiran malah menjadi sumber rujukan serta panduan dalam kehidupan masyarakat atau umat Islam pada setiap masa.

“Perkara ini bersesuaian dengan teras Malaysia Madani, malah seiring dengan matlamat Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan perihal pembangunan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia dan akhlak yang terpuji,” jelasnya.

You May Also Like