UMS perlu lahirkan graduan penuhi keperluan tenaga kerja mahir

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu terus memperkukuh kerjasama dengan pemain industri bagi melahirkan graduan yang diperlukan oleh industri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu selaras dengan dasar kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan industri.

“Saya berharap UMS akan menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang tersedia masa hadapan,” katanya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 Kali Ke-29 UMS, di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri terus komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, sesuai dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi, termasuk pembangunan modal insan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti kerana dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.

Menurut Hajiji, UMS perlu mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan antarabangsa.

Beliau berkata, dalam konteks pendidikan, hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 telah menggariskan tumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan iaitu peningkatan kualiti pendidikan bagi memastikan pelajar yang dihasilkan memenuhi standard yang diperlukan terutamanya oleh industri.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru beberapa inisiatif telah diambil oleh kerajaan negeri dalam membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Majlis Perundingan Pelajar Sabah bagi memberi ruang bakal-bakal pemimpin untuk menyampaikan pandangan, idea dan aspirasi anak muda Sabah dalam memperkasakan peranan belia di negeri ini.

Selain itu katanya, penubuhan Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) yangmenjadi badan penghubung untuk mendengar suara mahasiswa Sabah kepada kerajaan negeri serta menjadi badan perantara dalam menyampaikan informasi informasi berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan negeri kepada mahasiswa Sabah.

Beliau juga mahu melihat UMS sentiasa dekat di hati masyarakat melalui inisiatif universiti untuk masyarakat (University for Society) yang dirangka untuk menggalakkan pemindahan ilmu berkualiti berasaskan kesarjanaan yang dijana di universiti awam kepada komuniti berkeperluan dengan bermatlamat kepada kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Peranan universiti dalam membantu masyarakat amatlah signifikan. Ahli akademikdan penyelidik, serta para pelajar perlu turun padang mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan seterusnya membantu memberi solusi yang sewajarnya”, katanya.

Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS amat bangga dengan pencapaian semasa yang ditunjukkan oleh UMS. Sejak kewujudannya, UMS telah membantu menjana transformasi pembangunan di negeri ini dan kini merupakan salah sebuah universiti terkemuka di negara ini yang sentiasa menjadi pusat rujukan terutamanya di Sabah.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Prof Datuk Dr. Kasim Mansor kerana dilantik semula sebagai Naib Canselor UMS dan beliau merupakan anak tempatan yang berpengalaman, lama berkhidmat dengan UMS dan merupakan antara ahli akademik asal Sabah yang terkenal di negara ini.

Hajiji juga berharap kehadiran pelajar baharu ke UMS bakal menghasilkan kejayaan yang cemerlang serta sejarah kehidupan yang membanggakan sepanjang tempoh pengajian.

You May Also Like