Elak sebut Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia-Armizan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

KOTA KINABALU: Tindakan sesetengah pemimpin ketika berucap menyebut Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan masyarakat.

Jika dilihat dalam tempoh 60 tahun perjalanan Persekutuan Malaysia, isu-isu yang dianggap remeh sebegini sebenarnya memberi impak besar kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ucapan dan frasa-frasa yang digunakan ini boleh menjadi polemik.

“Contohnya, apabila disebut Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, Ada juga pihak-pihak tertentu yang tidak gemar dengan sebutan sebegitu

“Begitu juga apabila ada yang menyebut seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Hakikatnya Sabah dan Sarawak itu memang sudah dalam Malaysia jadi, tidak perlu sebut Sabah dan Sarawak termasuk Malaysia.

“Cukuplah sebut Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, itu lebih sesuai,” katanya semasa Program Wacana Madani ‘MA63: Aspirasi 60 Tahun Sabah dalam Malaysia’, di sini semalam.

Armizan berkata, walaupun sesetengah perkara itu kelihatan kecil tetapi, ia cukup bernilai dan bermakna kepada pihak tertentu khususnya Sabah dan Sarawak.

Atas semangat itu, bagi memaknai kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Persekutuan Malaysia maka, sebutlah frasa yang tidak menyentuh sanubari dan jiwa rakan-rakan dalam Persekutuan Malaysia.

Seiring dengan itu, sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang dahulunya disambut secara bergilir-gilir antara Sabah dan Sarawak, kini turut disambut di Semenanjung Malaysia.

Katanya, bermula pada tahun lepas, Hari Malaysia mula disambut bergilir-gilir dengan Semenanjung Malaysia dan dimulakan dengan Melaka. Itu satu pendekatan yang baik kerana Hari Malaysia itu bukan milik orang Sabah dan Sarawak tetapi, seluruh masyarakat di negara ini.

Mengenai istilah wilayah pula, Armizan berkata, setakat ini belum ada permohonan rasmi bagi menggunakan istilah Wilayah Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak belum mengemukakan permohonan bagi mengubah istilah negeri kepada wilayah. Berkemungkinan kerajaan di kedua-dua negeri sedang menyemak dan mempertimbangkan kedua-dua aspek sebab ada juga pandangan sekiranya istilah wilayah digunakan, ia akan menimbulkan konotasi berbeza.

Jelas beliau, penggunaan istilah wilayah itu harus dilihat dari sudut undang-undang mengenai status sebenar Sabah dan Sarawak.

“Apa yang lebih penting daripada istilah wilayah atau negeri adalah pindaan yang dibuat dalam meletakkan semula aturan Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kenapa perkara itu penting? ia bukan hanya untuk hari ini tetapi juga bagi generasi akan datang supaya ia dikembalikan kepada status asal agar generasi akan datang tahu kenapa ada beza Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Menurut beliau, apabila pindaan itu dilaksanakan maka, generasi akan datang mengambil inisiatif untuk menyemak dan memahami bahawa status Sabah dan Sarawak bukan sama taraf dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

You May Also Like