KOTA KINABALU: Pelantikan secara pentadbiran wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota lembaga dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak tahun lalu diperkukuhkan dengan pelantikan keanggotaan tetap melalui penguatkuasaan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu akan dilakukan melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023 yang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen bermula pada Isnin depan hingga 30 November.
Beliau berkata, pembentangan itu sejajar dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Jun lalu yang memperakukan syor Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang telah bermesyuarat pada 19 Januari lalu di Kuching, Sarawak.
Mesyuarat MTP-MAG3 itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pindaan Akta 533 yang memperuntukkan keanggotaan tetap wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak ini menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan isu-isu tertangguh berkaitan dengan MA63 sekali gus menghormati serta mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya semasa program Wacana Madani ‘MA63: Aspirasi 60 tahun Sabah dalam Malaysia’, hari ini.
Syor supaya perwakilan tetap kerajaan negeri Sabah dan Sarawak itu dibangkitkan kali pertama dalam platform rasmi perundingan pelaksanaan MA63 oleh kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Hajiji dan kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari semasa Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021.
“Syor ini telah dibangkitkan atas asas untuk mengembalikan kedudukan asal kewujudan perwakilan kedua-dua negeri ini dalam institusi tersebut sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.
“Tuntutan ini juga sejajar dengan peruntukan berhubung percukaian seperti terkandung dalam sub perenggan 24(1) peruntukan kewangan, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (ICG) pada 1962,” katanya.
Armizan berkata, keanggotaan wakil daripada negeri Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Cukai Pendapatan Malaysia telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan pada ketika itu.
Pelaksanaan itu dibuat berdasarkan peruntukan dalam undang-undang melalui Perintah 1964 yang berlandaskan Ordinan Cukai Pendapatan 1947 di Tanah Melayu dan Ordinan Cukai Pendapatan 1956 di Sabah dan Ordinan Hasil Dalam Negeri 1960 di Sarawak.
Walau bagaimanapun, peruntukan mengenai keanggotaan wakil negeri Sabah dan Sarawak ini terhenti apabila Lembaga Cukai Pendapatan Malaysia dan ketiga-tiga undang-undang berkaitan dimansuhkan setelah semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal selia oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia mulai tahun 1967.
Fungsi ini kemudiannya diteruskan oleh LHDNM yang telah ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah Akta 533.