Gagasan Rakyat Sulaman mahu miskin tegar di Sabah dinoktahkan

Estimated read time 3 min read
Social Sharing

TUARAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman menggesa kerajaan Persekutuan memberi fokus untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah mengikut keperluan tempatan.

Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman, Datuk Abd Kassim Razali berkata, isu ‘touch point’ ini amat dekat dengan rakyat. Maka, penting untuk ia ditangani menggunakan langkah yang proaktif dan pragmatik bagi mencari penyelesaian secara tuntas.

“Sememangnya, ia bukan mudah kerana ia hanya dapat diatasi jika kita seimbangkan pelan ekonomi aras tinggi (import-eksport dan pelaburan luar) dan ekonomi akar umbi (aktiviti ekonomi skala tempatan dengan menggunakan sumber lokal).

“Dalam konteks ini, maka adalah penting dan wajar, supaya pendekatan ekonomi akar umbi diperkasakan lagi, dengan menggerakkan segmen ekonomi pada peringkat komuniti setempat,” katanya semasa membentangkan usul sempena Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, di sini semalam.

Abd Kassim berkata, kemiskinan di Sabah bukan disebabkan isu pertumbuhan dan pelaburan ekonomi tetapi lebih berkait dengan isu pengagihan pendapatan.

Justeru itu katanya, usaha menoktahkan kemiskinan tegar perlu memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi akar umbi, iaitu dengan mengenal pasti keperluan akar umbi bagi mengurangkan jurang pendapatan mereka dengan golongan yang kaya. 

“Oleh itu, perancangan dan pendekatan yang dibuat kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya terlalu umum, sebaliknya ia mesti berfokus dan menjurus kepada kumpulan sasar, sebagaimana disenarai dalam sistem e-Kasih berasaskan keadaan dan senario setempat.

“Ini penting kerana punca kemiskinan yang berlaku di Kuala Lumpur tentu berbeza dengan apa yang berlaku di negeri Sabah. Begitu juga, pendekatan bagi penyelesaian kepada isu kemiskinan tegar di Sabah, tentu sekali berbeza dengan negeri di Semenanjung.

“Dalam hal ini, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman menggesa kerajaan Persekutuan supaya sentiasa melibatkan kerajaan negeri, jabatan, badan berkanun, dan badan bukan kerajaan (NGO) dari Sabah dalam proses merangka pelan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini,” katanya.

Itu antara usul yang dibentang dan diluluskan oleh pimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Tuaran.

Usul lain termasuk pendirian Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman untuk menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berjaya diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika berdepan cabaran getir Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.

Menurutnya, SMJ adalah pelan pembangunan menyeluruh untuk kepentingan rakyat Sabah yang wajar disokong ke arah memastikan negeri ini dan rakyatnya dapat pulih dari segi kemajuan sosio ekonomi.

“Hala Tuju SMJ ini dirangka khusus sebagai panduan membina semula hala tuju pembangunan negeri, yang berpaksi kepada kepentingan sejagat bagi memakmurkan umat dan rakyat majmuk kita yang berbilang kaum dan bersilang budaya.

“Ia adalah pelan pembangunan komprehensif dan paling menyeluruh kerana bukan saja memfokuskan kepada sektor yang perlu dibangunkan seperti pertanian, pelancongan dan perindustrian tetapi juga memfokuskan kepada usaha membangunkan kesejahteraan dan kemahiran modal insan,” katanya.

You May Also Like