TUARAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman mengambil pendirian tegas tidak mengiktiraf sebarang gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akhir tahun lalu dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman, Datuk Abd Kassim Razali berkata, sejajar dengan itu, beliau mengusulkan agar Gagasan Rakyat terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan persekutuan.
Katanya, Gagasan Rakyat berpendirian pentingnya kestabilan kerajaan dipelihara untuk kepentingan semua, termasuk kesinambungan pembangunan di Sabah.
Beliau berkata, bagi rakyat Sabah Perdana Menteri adalah pemimpin yang mesra negeri marginal Borneo yang terbukti menerusi pelbagai reformasi untuk memperbaiki tata kelola hubungan Persekutuan dan negeri, sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara.
Jelasnya, ia termasuk langkah Perdana Menteri yang memberi ’empowerment’ kepada Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah menjadi bukti jelas mengenai komitmen tinggi serta iltizam politik Perdana Menteri mengangkat status serta memartabatkan kepentingan Borneo.
“Melihat jauh ke hadapan, tentu saja kestabilan politik negara dan negeri amat penting bagi memastikan bahawa segala peracangan pembangunan ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan.
“Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman berpendirian tegas bahawa kita tidak sesekali mengiktiraf apa jua bentuk gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang sudah dibentuk selepas PRU dan PRN lalu.
“Oleh itu, saya mengusulkan agar kita semua terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan dengan komitmen, iltizam serta pendekatan Kerajaan Perpaduan yang mesra kepada negeri marginal seperti Sabah dan Sarawak,” katanya semasa membentangkan usul sempena Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, di sini semalam.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat.
Abd Kassim berkata, sokongan kepada PMX adalah antara tiga usul dibentangkan Abd Kassim pada persidangan sulung Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman itu sebagai gambaran keteguhan pendirian parti itu mendokong dan menyokong pimpinan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.